United Malacca dijangka ‘sambung’ prestasi kewangan mantap pada Q2 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

United Malacca dijangka ‘sambung’ prestasi kewangan mantap pada Q2 - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Syarikat perladangan, United Malacca Berhad dijangka mencatatkan keuntungan bersih lebih kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY22) berbanding suku tahun semasa. 

 

Bagi firma penyelidikan, CGS-CIMB Research, prestasi itu bakal dipacu oleh pengeluaran buah sawit segar (FFB) dan purata harga jualan (ASP) produk sawit yang lebih tinggi.

 

“Kami percaya lonjakan dalam pengeluaran FFB (pada suku tahun semasa) dipacu oleh profil usia pokok yang lebih baik memandangkan lebih banyak kawasan ladang akan matang pada masa akan datang. 

 

“Dari segi paras keuntungan sebelum cukai (PBT), estet United Malacca di Kalimantan mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.9 juta pada 1QFY22. Ini merupakan kali pertama ia berjaya mengurangkan perbelanjaan susut nilai yang tinggi sekali gus mencatatkan PBT. 

 

“Kami kekal positif terhadap estetnya di Kalimantan memandangkan kami percaya ia akan memacu pertumbuhan pengeluaran FFB kumpulan pada masa akan datang, didorong oleh kawasan matang yang lebih banyak dan profil usia pokok lebih baik,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Pada 1QFY22, United Malacca kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM18 juta berbanding kerugian bersih utama berjumlah RM0.2 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Ini dipacu oleh ASP produk sawit yang lebih tinggi selain kadar hasil FFB lebih kukuh di estet kumpulan di Indonesia. 

 

CGS-CIMB seterusnya meningkatkan unjuran keuntungan bersih United Malacca pada FY22 hingga FY24, sebanyak 133% hingga 164% bagi mencerminkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

 

Senada itu, penganalisis di Kenanga Research, Adrian Kok juga percaya prestasi kumpulan pada suku tahun hadapan akan bertambah baik yang dipacu oleh harga MSM dan pengeluaran lebih tinggi. 

 

Kata Kok, firmanya meningkatkan unjuran keuntungan bersih utama kumpulan pada FY22 dan FY23, masing-masing sebanyak 56% dan 12% setelah mengambil kira harga MSM lebih tinggi. 

 

Saranan ‘market perform’ dikekalkan dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM5.25. - DagangNews.com