UPM anjur Forum Kesedaran Pendidikan Kewarganegaraan Global bertemakan isu keganasan global | DagangNews Skip to main content

UPM anjur Forum Kesedaran Pendidikan Kewarganegaraan Global bertemakan isu keganasan global

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Wacana Intelektual Perdana Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Forum Kesedaran Pendidikan Kewarganegaraan Global bagi memberikan kesedaran mengenai kemanan sejagat dalam kalangan pendidik menerusi Pendidikan- Kewarganegaraan Global (GCED).

 

Pengerusi program, Prof Madya Dr. Ku Hasnita Ku Samsu berkata, forum selama dua hari itu akan membantu mempromosi budaya keamanan sejagat supaya golongan pendidik akan dapat menyebarkan elemen berkaitan pendidikan kewarganegaraan global kepada pelajar.

 

Katanya, GCED juga merupakan antara kaedah yang bertepatan dalam mendidik masyarakat dalam mengatasi perkara yang boleh menjejaskan keamanan.

 

"Forum itu membabitkan tiga sesi perbincangan panel berdasarkan tema keganasan global, penyebaran berita palsu dan pembinaan keamanan.

 

"Tema keganasan global merangkumi perbincangan mengenai isu kezaliman dan kebencian, ekstremisme dan peranan pendidik dalam menangani isu keganasan global," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Ku Hasnita yang juga pensyarah Fakulti Ekologi Manusia berkata, tema penyebaran berita palsu akan memfokuskan kepada cabaran dan trend penyebaran berita palsu mengenai pandemik COVID-19 di peringkat tempatan dan global.

 

upm11
Prof Madya Dr. Ku Hasnita Ku Samsu

 

"Tema pembinaan keamanan pula akan menekankan aspek berkaitan dengan keharmonian dalam konteks Malaysia dan global serta peranan pendidik dalam memupuk keharmonian di peringkat tempatan dan global.

 

"Selain itu, strategi untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat pelbagai etnik dan masyarakat aneka-kepelbagaian dengan kehadiran pelbagai warga asing di Malaysia turut dikupas," katanya.

 

Ku Hasnita berkata, forum berkenaan ditaja sepenuhnya oleh Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding (APCEIU), Korea Selatan.

 

Katanya, APCEIU adalah sebuah agensi di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mempromosi dan membangunkan pendidikan untuk Kefahaman Antarabangsa (EIU) dan Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) dengan negara anggota UNESCO.

 

"Forum ini turut mendapat kerjasama Global Citizenship Education Cooperation Centre USM (GCC-USM); Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas; IPG Kampus Pendidikan Islam; Persatuan Guru-Guru Teknik dan Vokasional Malaysia serta Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Selangor.

 

"Saya berharap pengisian forum ini dapat memberi kesedaran kepada peserta mengenai budaya keamanan di peringkat tempatan dan global serta bermotivasi untuk menyebarkan informasi berkaitan kewarganegaraan global kepada pelajar mereka," katanya.-Dagangnews.com