UPM kekal kedudukan kedua Universiti Terbaik Malaysia dalam QS Asia University Rankings 2022 | DagangNews Skip to main content

UPM kekal kedudukan kedua Universiti Terbaik Malaysia dalam QS Asia University Rankings 2022

SERDANG 2 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuhkan pencapaiannya dalam QS Asia University Rankings 2022 apabila berjaya meningkatkan lagi kedudukannya di ranking ke-27 universiti terbaik Asia bagi tahun ini berbanding ranking ke-28 pada tahun lalu.

 

Ranking itu meletakkan UPM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia dan sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri apabila UPM berjaya membuat lonjakan secara berterusan bagi tempoh lapan (8) tahun berturut-turut.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman merakamkan ucapan tahniah kepada semua staf dan pelajar yang menyumbang dalam kejayaan UPM serta mengharapkan komitmen yang berterusan ini ditonjolkan lagi.

 

“Walaupun negara menghadapi pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak mempengaruhi operasi sektor pendidikan tinggi tetapi perkara ini tidak menghalang UPM untuk mengekalkan prestasi dengan menatang pembudayaan norma baharu dalam pembelajaran dan pengajaran, serta penyelidikan dan inovasi,” katanya.

 

Tambah beliau, indikator ranking itu penting bagi meningkatkan keunggulan reputasi global UPM serta menjadi satu elemen rujukan bagi UPM memantapkan lagi perancangan hala tuju melalui pembentukan Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang baharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

 

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman
                           Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

 

Merujuk kepada pencapaian dalam QS Asia University Rankings 2022, antara 11 indikator penilaian, kekuatan UPM adalah pada indikator International Research Network kerana berada pada ranking ke-11 terbaik Asia. Selain itu, indikator Faculty Staff with PhD, Inbound  Exchange Student dan Outbound Exchange Student memperoleh pemarkahan 100% keseluruhannya.

 

BACA JUGA: 21 warga UPM terima Anugerah Fellowship Naib Canselor

 

Sebanyak 11 indikator penilaian QS Asia University Rankings adalah seperti berikut: Academic Reputation, Employer Reputation, Citations per Paper, Papers per Faculty, Faculty/Student Ratio, International Faculty, International Student, International Research Network, Faculty Staff with PhD, Inbound Exchange Student dan Outbound Exchange Student. - DagangNews.com

 

LAGI BERITA UPM: Kursi MB Selangor diwujudkan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM