Skip to main content

Vaksin COVID-19: Malaysia sedang muktamad tarikh perjanjian COVAX, kata KJ

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memuktamadkan tarikh menandatangani perjanjian ‘optional purchase’ untuk meletakkan negara dalam penyertaan kemudahan COVID-19 Global Vaccine Access (COVAX).

 

Pada 14 Oktober lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju agar Malaysia menyertai COVAX yang bakal memberi jaminan vaksin kepada 10% populasi negara, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin. 

 

Katanya, KKM mewakili Malaysia untuk memuktamadkan penyertaan Malaysia ke dalam COVAX bersama-sama Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI) selain Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat ditetapkan. 

 

“Keputusan untuk Malaysia menyertai kemudahan COVAX akan melibatkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan 'risk sharing guarantee' berjumlah AS$22.6 juta atau anggarannya RM94 juta. 

 

“Jaminan akses bekalan awal untuk vaksin COVID-19 adalah penting untuk melindungi rakyat Malaysia daripada penularan pandemik itu dan selanjutnya membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global,” kata Khairy di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung perkembangan terkini penyertaan Malaysia dalam kemudahan COVAX serta kos yang bakal ditanggung. 

 

Tambah Khairy, penyertaan Malaysia di dalam kemudahan COVAX merupakan pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan serta mengurangkan risiko daripada kaedah dua hala sahaja untuk memperoleh vaksin COVID-19. 

 

DagangNews.com yang memetik kenyataan Khairy pada 4 November lalu melaporkan COVAX menawarkan maksimum AS$22 (RM87.54) untuk satu vaksin kepada Malaysia. 

 

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi Perkhidmatan Kesihatan Awam berkaitan COVID-19 bagi tahun 2021.

 

Selain itu, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan bagi mendapatkan sumber vaksin daripada COVAX. - DagangNews.com