Vaksin jaminan industri kembali 'bernafas' | DagangNews Skip to main content

Vaksin jaminan industri kembali 'bernafas'

 Vaksin jaminan industri kembali 'bernafas'

FOKUS BERITA

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - KEHADIRAN wabak COVID-19 sememangnya memberi cabaran yang sangat besar kepada ekonomi dunia.

 

Keseluruhan sektor dan industri terpaksa berdepan dengan cabaran tersendiri dalam usaha 'melawan' penularan virus yang tidak diundang itu.

 

Di Malaysia, sektor pelancongan contohnya dilihat paling terkesan sejak wabak berkenaan melanda negara sehingga menyebabkan penutupan hampir 100 syarikat perhotelan dan lain-lain.

 

Menilai kepada risiko dan impak wabak tersebut, seluruh negara dunia termasuk Malaysia mengatur langkah keselamatan seperti pelancaran program vaksinasi.

 

Susulan itu, 24 Februari 2021 menjadi tarikh bersejarah negara apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Melalui program berkenaan, sebanyak 3.7 juta dos vaksin telah diberikan kepada rakyat Malaysia setakat 8 Jun 2021.

 

Jelas sekali, kehadiran vaksin yang mampu mengurangkan risiko jangkitan dan kesihatan amatlah diperlukan khususnya buat penggiat industri negara untuk kembali bernafas.

 

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, sektor ekonomi khususnya pelancongan dapat kembali beroperasi semula sekiranya kadar vaksinasi dan kelompok imuniti yang tinggi dapat dicapai dengan cepat.

 

Tan Kok Liang
Tan Kok Liang.

 

"Jadi, dengan vaksinasi ini kita akan lebih yakin khususnya sektor pelancongan untuk kembali beroperasi seperti biasa.

 

"Kalau dipercepatkan, saya percaya sektor pelancongan akan dibuka tidak lama lagi.

 

"Untuk itu, saya juga harap sekiranya hospital swasta juga dapat membuat suntikan vaksin, itu bagus," jelas beliau ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, suntikan vaksinasi memberi kelebihan kepada sesebuah negara untuk membuka sektor ekonomi sekali gus menghidupkan semula industri-industri yang terjejas akibat COVID-19.

 

Katanya, kejayaan tersebut telah dicapai oleh negara-negara eropah, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan China.

 

"Mereka sudah tidak pakai mask, mereka berjalan sana sini pergi mesyuarat dan bercuti.

 

"Jadi, semakin cepat proses vaksinasi kepada penduduk termasuk petugas barisan hadapan sektor pelancongan, saya fikir ia akan meningkatkan ekonomi dan pelancongan negara kita," jelas beliau.

 

Pemberian vaksinasi turut memberi khabar gembira dan keyakinan kepada golongan usahawan untuk kembali berniaga.

 

Memberi keyakinan tersebut, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang memberitahu, golongan peniaga termasuk usahawan mikro dan penjaja harus mendapatkan vaksin untuk kembali berniaga sekali gus menghidupkan 'enjin' ekonomi negara.

 

Michael Kang
Michael Kang.

 

"Vaksin kepada semua golongan peniaga khususnya usahawan mikro, peniaga persendirian, penjaja dan lain-lain perlu dipercepatkan. Apabila mereka divaksin nanti, mereka boleh kembali berniaga seperti biasa, menjalankan ekonomi.

 

"Kami juga ada hantar cadangan kepada kerajaan untuk membantu PKS mendapatkan vaksin seperti 'Mobile Clinic' selain pendaftaran manual melalui MySejahtera.

 

"Kita sudah bagi cadangan kerajaan, kita sudah bincang dengan MITI dan berkemungkinan Julai nanti boleh mula untuk mempercepatkan vaksin," katanya.

 

Menurut beliau, melalui usaha 'Mobile Clinic' tersebut, petugas kesihatan dengan kerjasama pihaknya akan memberi suntikan vaksin kepada golongan PKS sama ada di kawasan perkampungan, kilang dan pasar.

 

Usaha berkenaan tidak memerlukan golongan PKS untuk ke pusat vaksinasi.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Ramli Yusuff turut menyuarakan keprihatinan beliau berkaitan vaksinasi dalam industri keselamatan.

 

Ramli Yusuff
Ramli Yusuff.

 

Menurutnya, industri keselamatan mampu mencapai 'sinar' pemulihan semula sekiranya rakyat khususnya petugas keselamatan diberi vaksin kelak.

 

"Sepanjang tempoh penularan COVID-19 dan PKP, memang berlaku pengurangan jumlah pengawal yang diambil (oleh client) khususnya dalam sektor yang berkaitan dengan hotel kerana hotel tidak dibuka untuk orang ramai.

 

"Jadi, kalau setiap hotel menggunakan 10 orang pengawal keselamatan kami, cuba banyangkan kalau majoriti hotel sekarang ditutup. Situasi ini memberi kesan kepada pengawal dan industri kami.

 

"Apa pun, kami yakin semua ini akan kembali pulih dan kembali seperti biasa apabila vaksin dapat diberikan secara meluas khususnya kepada industri keselamatan," katanya.  - DagangNews.com