Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Dis - Kenanga Research melihat prospek aktiviti yang dikeluarkan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam laporannya semalam agak bercampur-campur menjelang 2022.
Dalam laporan Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) untuk 2022-2024, syarikat minyak negara itu menggariskan nada optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek sektor minyak dan gas (O&G).
Petronas menjangkakan laluan ke arah pemulihan permintaan yang berterusan akan kekal rapuh dan tidak menentu pada tahun hadapan apabila pasaran minyak menyesuaikan diri dengan landskap jangka pendek dan panjang, didorong oleh penyambungan semula aktiviti ekonomi di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Peralihan tenaga yang dipercepatkan akan mewujudkan cabaran selanjutnya kepada perniagaan minyak dan gas tradisional, justeru, pemain industri mesti inovatif dan kekal kompetitif untuk memastikan projek dan pengeluaran boleh dilaksanakan dalam iklim ekonomi yang tidak menentu bagi kemampanan industri.
Baca : Petronas: Tinjauan pemulihan pada 2022 kekal rapuh, tidak menentu
Dalam nota kajian hari ini, penganalisis Kenanga Research, Steven Chan berkata, meskipun beberapa subsegmen dijangka menyaksikan peningkatan berbanding 2021, tetapi segmen lain masih berdepan aktiviti yang mendatar atau hanya peningkatan kecil.
Katanya, berbanding laporan tinjauan tahun lalu, Petronas meningkatkan unjuran aktiviti 2022 bagi kebanyakan subsegmen walaupun ia hanya mencerminkan projek-projek yang tertangguh pada 2021, memandangkan kesemua subsegmen menyaksikan aktiviti sebenar gagal memenuhi unjuran tahun lalu.
"Walaupun tiada 'pemenang' utama dalam tinjauan aktiviti kali ini, tetapi pemain bagi segmen penyambungan (hook-up) dan pentauliahan (HUC) dan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM) seperti Dayang Enterprise Holdings Bhd., Carimin Petroleum Bhd., Sapura Energy Bhd. dan Petra Energy Bhd. menjadi antara sebahagian syarikat yang akan mendapat manfaat daripada peningkatan tempahan kerja apabila memasuki 2022.
"Sebaliknya, Velesto Energy Bhd. pula akan terus bergelut untuk mencapai pulangan modal bagi kadar penggunaan melainkan bidaan kontrak di luar negara menjadi kenyataan, memandangkan permintaan bagi pelantar jack-up masih kekal rendah.
"Selain itu, penyedia fabrikator seperti Sapura Energy dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MMHE) mungkin berdepan peluang kontrak yang lebih perlahan di peringkat tempatan," katanya.
Bagaimanapun, Chan masih menjangkakan Petronas akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM40 hingga RM45 bilion setahun dalam tempoh 5 tahun akan datang berbanding RM33.4 bilion pada 2020.
Katanya, di sebalik tekanan untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, segmen huluan dilihat masih menjadi fokus pelaburan beserta langkah mengoptimumkan kos.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan pelabur akan lebih tertumpu kepada saham yang defensif dengan pilihan utamanya adalah MISC Bhd. dan Dialog Group Bhd. yang diberi saranan 'outperform' dengan harga sasaran masing-masing pada RM8.05 dan RM3.50. - DagangNews.com