Vincent Tan lepaskan jawatan Pengerusi Eksekutif BCorp | DagangNews Skip to main content

Vincent Tan lepaskan jawatan Pengerusi Eksekutif BCorp

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Tan Sri Vincent Tan akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (BCorp.) berkuat kuasa hari ini. 

 

Bagaimanapun, beliau akan kekal dalam Lembaga Pengarah BCorp. sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, menurut BCorp dalam makluman di Bursa Malaysia. 

 

Langkah ini dibuat sejajar dengan wawasan kumpulan dalam usaha transformasi BCorp. menjadi syarikat yang diuruskan oleh profesional. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif BCorp Group, Abdul Jalil Abdul Rasheed yang dilantik ke jawatan tersebut pada 16 Mac lalu diberi mandat untuk membawa transformasi kepada kumpulan tersebut menjadi sebuah organisasi berprestasi tinggi. 

 

Ia akan dilaksanakan menerusi pelarasan pelbagai kumpulan perniagaan bagi mewujudkan dan meningkatkan nilai pemegang saham, mengoptimumkan kewangan dan modal insan, meningkatkan sinergi dan kecekapan serta menambah baik tadbir urus korporat dan ketelusan.
 

Vincent Tan yakin penyertaan Jalil Rasheed yang mengendalikan urusan dan membuat keputusan stategik serta merancang hala tuju perniagaan masa depan BCorp Group bersama dengan Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Robin Tan, syarikat berada dalam kedudukan yang baik dan mampu bergerak ke hadapan dengan lebih progresif. 

 

Dalam masa sama, beliau menyifatkan adalah penting untuk memberi ruang dan kebebasan kepada Jalil untuk menjalankan operasi BCorp dengan caranya sendiri. 

 

"Saya kini boleh mengundur diri daripada terlibat secara aktif dalam operasi harian dan memberi lebih galakan kepada kerja-kerja amal dan kepentingan lain. 

 

"Saya bersyukur dengan kekayaan yang diperoleh selama ini dan berterima kasih dengan banyak peluang diberikan. Kini adalah masa untuk memberinya kembali," katanya dalam makluman itu hari ini.

 

Beliau juga berkongsi, ketika ini, kecenderungannya adalah untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia memandangkan kediaman merupakan keperluan asas dan penting kepada maruah seseorang, keselamatan dan inklusif. 

 

Sejak 2 tahun lalu, Better Malaysia Foundation mengumpulkan pemikir dalam kalangan profesional bagi membantu mencari penyelesaian bagi menangani jurang kemampuan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah atau B40. 

 

Sementara itu, Robin Tan berkata, bapanya sebelum ini pernah menyuarakan mengenai keinginannya untuk mengundurkan diri dan membiarkan profesional untuk menguruskan BCorp Group. 

 

"Dengan melepaskan jawatan eksekutif ini, beliau kini boleh meluangkan lebih masa untuk meneruskan minatnya," katanya. 

 

Menurutnya, BCorp Group telah mengalami evolusi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan begitu juga dengan pengurusannya. 

 

"Apabila proses transformasi dan pelan ini dalam kedudukan stabil, malah sejajar dengan visi Vincent Tan untuk diuruskan oleh profesional, saya juga merancang untuk memegang jawatan bukan eksekutif di dalam lembaga pengarah. 

 

"Ini secara tidak langsung membolehkan saya meneruskan minat yang lain," katanya. 

 

Jalil pula memberitahu, beliau akan mengambil tempoh 3 bulan pertama ini untuk melaksanakan tinjauan strategik mengenai BCorp Group.

 

"Saya kini sedang bekerjasama dengan Robin Tan dan Lembaga Pengarah BCorp untuk memulakan proses transformasi dan membawa misi Vincent Tan supaya membuahkan hasil," jelas beliau. - DagangNews.com