NEGARA BOLEH ALAMI KERUGIAN LEBIH BESAR JIKA DASAR BURUH LUAR TIDAK DIPERKUKUH
Masalah buruh di Malaysia semakin meruncing. Situasi ini telah menghimpit banyak sektor-sektor utama di Malaysia yang sememangnya bergantung kepada buruh luar. Jika perkara ini, kerajaan tidak mengambil tindakan yang tepat akan lebih banyak sektor-sektor di Malaysia mengalami kerugian akibat kekurangan buruh ini.
Kenapa penting sangat isu buruh luar ini?
Malaysia tidak boleh menafikan yang produktiviti negara bergantung dengan buruh luar ini. Maka secara tidak sedar kita perlu mengiktiraf pentingnya sumbangan buruh luar ini dan ia mempunyai implikasi yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Sudah sampai masanya kerajaan menangani isu ini dengan lebih serius.
Kekurangan hampir 1.3 juta pekerja
Malaysia kekurangan pekerja terutamanya melibatkan buruh luar hampir 1.3 juta pekerja. Sektor-sektor utama di Malaysia yang bergantung dengan buruh luar ini merentasi sektor pembuatan, perladangan dan pembinaan dan lain-lain.
Data menunjukkan anggaran sektor pengilangan kekurangan 600,000 pekerja, sektor pembinaan memerlukan 550,000 pekerja, industri sawit kekurangan 120,000 syarikat pembuatan cip kekurangan 15,000 pekerja, syarikat pembuat sarung tangan perubatan memerlukan sekurang-kurangnya 12,000 pekerja dan lain-lain sektor.
Dengan jumlah ini, sememangnya membebankan pengusaha sektor-sektor ini. Sektor ini tidak dapat beroperasi dengan maksimum akibat kekangan buruh untuk menyokong operasi mereka bagi memenuhi permintaan semasa.
Kerugian yang besar
Pengeluar semikonduktor terpaksa menolak tempahan dan terlepas jualan berbilion ringgit akibat kekurangan buruh ini. Ia menunjukkan satu signal yang tidak baik dalam proses pemulihan ekonomi negara. Jika perkara ini terus berlaku, ia boleh merencatkan proses pemulihan ekonomi negara.
Sektor perladangan seperti industri sawit juga mengalami masalah buruh yang agak kritikal di mana 3 juta tan hasil tanaman akan hilang tahun ini apabila buah tidak dikutip akibat kekurangan buruh. Dengan situasi ini, industri sawit dijangka mengalami kerugian lebih daripada RM28 bilion.
Jika ia terus berlaku pastinya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, industri sawit menyumbang antara 3% hingga 5% kepada ekonomi Malaysia.
Selain itu, industri sarung tangan getah juga menganggarkan kehilangan pendapatan kira-kira RM3 bilion tahun ini jika kekurangan masalah buruh ini masih berterusan dan tidak dapat diatasi.
Secara tuntasnya, dengan kekurangan buruh ini bukan semata-mata menyebabkan kerugian pada sektor-sektor tertentu tetapi impak yang lebih besar yang boleh mengancam pemulihan ekonomi negara.
Dasar Penggajian Pekerja Luar
Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri telah menetapkan Dasar Penggajian Pekerja Luar seperti ketetapan berikut:
- Keutamaan penggajian untuk warga tempatan yang mana majikan dikehendaki memaklumkan kekosongan jawatan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) terlebih dahulu untuk membolehkan pencari kerja rakyat tempatan yang berdaftar dengan JobsMalaysia diutamakan untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut
- Pada masa ini, hanya 6 sektor pekerjaan yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing iaitu 6 sektor formal yang merangkumi sektor pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian
- Terdapat 15 negara sumber yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja asing ke Malaysia iaitu Indonesia, Nepal, Myanmar, India, Vietnam, Filipina (Lelaki), Pakistan, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, Laos, Turksmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan.
- Had umur penggajian pekerja asing yang dibenarkan ialah 18 tahun (minimum) dan 45 tahun (maksimum). Had umur ini merujuk kepada umur pada kali pertama kemasukan pekerja asing ke dalam Malaysia
- Tempoh penggajian yang dibenarkan ialah 10 tahun + 3 tahun bagi 6 sektor formal
- Permohonan pengambilan pekerja asing yang lengkap boleh dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk dipertimbangkan berdasarkan syarat-syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh Agensi Kawal Selia
Kelemahan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS)
Pengusaha sektor-sektor yang kekurangan buruh ini menggesa kerajaan untuk menyemak semula Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) kerana dilihat sistem ini gagal menjalankan fungsinya dengan baik dalam urusan pengambilan pekerja luar
Proses kelulusan pekerja luar lambat dan jumlah yang diluluskan adalah terlalu sedikit berbanding permohonan dan majikan-majikan juga belum menerima kebenaran untuk membayar levi berkaitan pengambilan tenaga kerja tersebut.
Buat masa ini tiada arah tuju yang jelas berkaitan arahan pengambilan pekerja asing dan sistem yang boleh memainkan peranan dengan baik bagi menguruskan urusan pengambilan pekerja luar.
Selain itu, FWCMS juga dikatakan adalah milik persendirian dan sebahagiannya adalah dimiliki Bestinet iaitu sebuah syarikat berasaskan IT dan seharusnya sistem dan aplikasi seumpama ini harus dikendalikan oleh kerajaan dan bukan mana-mana syarikat swasta bagi lebih telus.
Rakyat tempatan tidak berminat
Adakah buruh tempatan tidak boleh mengisi kekurangan buruh ini? Rakyat Malaysia tidak berminat untuk bekerja dalam industri dan sektor yang kekurangan buruh ini. Walaupun ditawarkan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 dengan pelbagai insentif, namun dianggap kerja ini berat dan susah terutamanya dalam sektor perladangan dan pembinaan.
Secara asasnya sepatutnya sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk yang ramai, Malaysia tidak perlu lagi bergantung dan mengambil pekerja luar.
Langkah jangka masa pendek
Kerajaan perlu mencari penyelesaian segera dalam isu ini. Apa yang boleh kerajaan lakukan dalam tindakan jangka masa pendek ialah dengan 'membenarkan' pengambilan pekerja dari pelarian Rohingya dan banduan yang menjalani tempoh parol.
Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing harus menyemak semula syarat di bawah program penentu-kuran semula buruh untuk untuk membolehkan lebih banyak pendatang asing tanpa izin (PATI) mengambil bahagian dalam program itu.
Data menunjukkan terdapat kira-kira 168,000 pelarian dilaporkan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan lebih daripada 60% daripada mereka berpotensi untuk bekerja.
Tiada jalan pintas
Kerajaan juga digesa untuk mengkaji semula tentang pekerja luar yang telah tamat tempoh 5 tahun perkhidmatan yang perlu pulang ke negara asal.
Jika kelonggaran membolehkan pekerja luar ini untuk bekerja semula untuk satu tempoh masa lagi, ia dilihat boleh mengurangkan sedikit sebanyak masalah kekurangan buruh ini. Ini kerana buruh ini sudah dianggap sebagai 'buruh mahir' dan penghantaran pulang mereka dilihat membazir tenaga, sumber dan masa.
Bagi mengatasi kekurangan buruh ini dalam tempoh jangka panjang, kerajaan perlu tetapkan dasar yang lebih kukuh bagi pengambilan buruh luar ini. Dasar yang lebih kukuh perlu dibangunkan segera bagi membolehkan proses pemulihan ekonomi tidak terencat! - DagangNews.com