Sesudah Parlimen dibubarkan, apa nasib Bajet 2023? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 12 Oct 2022 07:00 AM

Sesudah Parlimen dibubarkan, apa nasib Bajet 2023?

 

 

 

SEPERTI yang dijangka Parlimen dibubarkan sejurus Bajet 2023. Selepas pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu, Parlimen dibubarkan pada Isnin (10 Oktober 2023).

 

Pembubaran Parlimen ini diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas pada jam 3 petang Isnin lalu selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, di mana Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan Parlimen dibubarkan.

 

Pembubaran Parlimen ini akan membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan.

 

 

PM

 

 

Meratib keabsahan kerajaan

Pembubaran Parlimen ini melegakan pihak-pihak yang meratib keabsahan kerajaan yang menyatakan Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Kerajaan yang tidak stabil kerana di label sebagai kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

 

Apa yang lebih diruntun rakyat adalah kerajaan yang stabil dan yang mampu untuk memulihkan ekonomi demi kelangsungan hidup rakyat. Jika PRU dijalankan, rakyat yang mempunyai “kuasa” perlu memilih Kerajaan yang boleh melaksanakan Bajet 2023 yang telah dibentangkan dan sekali gus memulihkan ekonomi negara.

 

Sejarah 1999 berulang

Jika tiada pembubaran Parlimen, mengikut takwim mesyuarat Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 dikeluarkan Parlimen, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 sepatutnya melalui proses kelulusan peringkat dasar pada 2 November 2022 iaitu sebaik selesai sesi menggulung oleh menteri Kabinet.

 

Ini kerana lazimnya belanjawan tersebut memakan masa selama sebulan setengah untuk melepasi tiga kali bacaan.

 

Namun Bajet 2023 ini akan mengulangi sejarah seperti pada 1999, belanjawan dibentangkan semula oleh kerajaan selepas pembubaran Parlimen. Pembentangan Bajet semula ini mungkin memakan masa beberapa bulan selepas pilihan raya diadakan.

 

 

tengku zafrul

 

 

Tengku Zafrul berbaju Melayu biru

Dengan berbaju Melayu biru, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz telah membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat yang lalu. Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dipandu dengan 3R – Responsive, Responsible, Reformist atau responsif, bertanggungjawab, reformis.

 

Dengan berpandukan responsif ini, Bajet 2023 dilihat akan melindungi kebajikan rakyat kerana bajet akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan menyedia bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia termasuk kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat.

 

Namun begitu adakah Bajet 2023 yang dibentangkan Tengku Zafrul mahu diguna pakai oleh “kerajaan baharu” kelak?

 

Dasar fiskal yang mengembang

Seperti yang dijangka, Bajet 2023 akan melebihi Bajet 2022.  Bajet kali ini sebanyak RM372.3 bilion. Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM332 bilion.

 

Dalam jumlah yang besar ini, pastinya kerajaan baharu nanti akan memikirkan sama ada mahu mengekalkan jumlah ini atau pun tidak?

 

Jika jumlah ini mahu diagihkan, kerajaan baharu kelak perlu memastikan usaha konsolidasi fiskal melalui pelbagai langkah termasuk menambah baik tadbir urus fiskal, memperluas asas hasil dan mengoptimumkan perbelanjaan.

 

Selain itu, kerajaan baharu perlu membuat strategi hasil jangka sederhana dan semakan semula perbelanjaan awam akan menyediakan ruang fiskal tambahan manakala Akta Tanggungjawab Fiskal perlu segera dilaksanakan bagi memperkukuh lagi  tadbir urus fiskal dan membolehkan kerajaan baharu nanti melaksanakan langkah kitaran balas dan mengekalkan daya tahan ekonomi yang berpanjangan.

Bajet2023

B40 perlu terus dibela oleh kerajaan baharu

Dalam melaksanakan Bajet 2023,kerajaan baharu harus tetap menjaga kebajikan B40 Golongan ini memang agak “sengsara” dalam tempoh pandemik. Bajet 2023 mengumumkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang ditambah baik bagi tahun 2023.

 

Terdahulu Bajet 2023 mengumumkan BKM kepada beberapa kumpulan iaitu;-

  • Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500.
  • Isi rumah sehingga empat orang anak pula, akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.
  • Isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.
  • Warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.
  • Bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan.

 

Apa yang diharapkan agar golongan B40 ini akan terus mendapat manfaat hatta dibentangkan semula Bajet 2023 oleh kerajaan baharu kelak.

 

Bajet sepatutnya bukan milik parti politik

Bajet yang dibentangkan ini sepatutnya bukan milik parti politik. Ianya dibuat oleh Kementerian Kewangan demi rakyat dan negara. Jika bajet ini untuk rakyat dan negara, pastinya parti politik  mana sekali pun yang menjadi kerajaan, bajet ini boleh dilaksanakan demi untuk rakyat dan negara.

 

Kerajaan sepatutnya tidak boleh membentuk bajet mengikut “selera” mereka sendiri. Secara dasarnya, walaupun akan terbentuk kerajaan baharu sekali pun, kerajaan baharu tidak mempunyai masa yang banyak untuk mengubah keseluruhan draf Bajet 2023 yang telah dikemukakan ke Parlimen.

 

 

PM

 

 

Kestabilan politik sukar dicapai

Apa yang diharapkan, Bajet menjadi platform untuk semua parti politik bersatu untuk membina masa depan negara yang lebih baik dan bukannya “bercakaran” sesama sendiri merebut kuasa.

 

Tak kira siapa kerajaan yang membentangkan bajet, ahli politik perlu sama-sama memikir untuk menyelesaikan isu fiskal negara memandangkan tahap hutang negara ketika ini terlalu tinggi  sehingga mencecah 72% peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Jika  setiap tahun peningkatan defisit sebanyak RM60-RM70 bilion,  dalam tempoh antara 10 atau 15 tahun akan datang KDNK sama dengan kadar hutang negara. Adakah kita mahu Malaysia menerima nasib seperti Sri Lanka?

 

Dengan keadaan politik semasa, kestabilan politik di negara dilihat “sukar” dicapai kerana kini menyaksikan pelbagai gabungan parti diwujudkan. Inilah merisaukan semua pihak. Apakah lebih baik semua parti politik “letak tepi” agenda politik mereka dan bersatu dalam agenda ekonomi negara. Boleh? – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI