Westports terus berdepan tekanan kos diesel, penurunan volum kontena pada FY22 | DagangNews Skip to main content

Westports terus berdepan tekanan kos diesel, penurunan volum kontena pada FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Julai - CGS-CIMB Research menjangkakan volum kontena Westports Holdings Bhd. akan mencatat penurunan 5.2% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding unjuran pertumbuhan 1% tahun ke tahun sebelum ini. 

 

Menurut firma itu, penurunan volum kontena itu sebahagiannya disebabkan kehilangan beberapa pelanggan ke Northport berdekatan pada FY21 apabila kawasan Westports sangat sesak (yang mana beberapa daripadanya belum kembali ke Westports).

 

Selain itu, katanya, Westports juga berdepan pengurangan panggilan pemindahan kapal oleh kontena, dalam usaha mereka untuk meningkatkan kebolehpercayaan jadual. 

 

"Satu lagi sumber tekanan hasil adalah kemungkinan penurunan hasil 'perkhidmatan nilai tambah', terutama disebabkan pengurangan masa peninggalan kontena di limbungan kontena Westports kerana yang terakhir telah berkurangan daripada penggunaan lebih daripada 100% tahun lalu kepada penggunaan di bawah 80% pada masa ini," katanya dalam nota kajian.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, volum kontena Westports sebanyak 2.39 juta teus adalah 10% lebih rendah tahun ke tahun, dengan volum pemindahan menurun 16% dan pintu masuk mendatar tahun ke tahun. 

 

Dalam pembentangan dengan penganalisis pada Jumaat lalu, volum pada April hingga Mei 2022 menurun 6 hingga 7% tahun ke tahun dengan trend itu akan berterusan sehingga Jun. 

 

Sementara itu, dari segi perbelanjaan operasi (opex), CGS-CIMB berkata, kos diesel dijangka turut memberi tekanan kepada Westports. 

 

Harga purata diesel pada FY21 adalah sekitar AS$76 setong tetapi meningkat kepada AS$130 setong pada separuh pertama 2022. 

 

Dengan harga spot diesel kira-kira AS$150 setong, ia akan menjadikan kos diesel pada separuh kedua 2022 adalah lebih tinggi. 

 

"Sehubungan itu, dalam laporan ini, kami menaikkan anggaran harga minyak bagi FY22 sebanyak 21% manakala 15% pada FY23-FY24.

 

"Kami menjangkakan kos diesel akan memberi kesan kepada 10% hasil Westports pada FY22 berbanding 6% pada FY21," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'pegang' terhadap Westports dengan harga sasaran lebih rendah pada RM3.50 berbanding RM3.78 sebelum ini. 

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatan sesaham sebanyak 10 hingga 14% bagi FY22-FY24 disebabkan anggaran volum yang lebih rendah dan kos diesel lebih tinggi. - DagangNews.com