Wujudkan semula kempen pemilikan rumah, peruntukan pacu industri hartanah dalam Bajet 2023 – PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

Wujudkan semula kempen pemilikan rumah, peruntukan pacu industri hartanah dalam Bajet 2023 – PropertyGuru

Kempen pemilikan rumah telah berakhir pada 31 Disember 2021 dan wajar diwujudkan semula pada Bajet 2023. - Gambar DagangNews.com
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 Sept – Syarikat teknologi hartanah, PropertyGuru berharap Bajet 2023 akan menyediakan peruntukan bagi memacu pasaran hartanah dan membantu masyarakat yang merancang untuk memulakan perjalanan pemilikan rumah mereka, terutamanya dengan situasi kenaikan harga hartanah, semakan semula Kadar dasar Semalaman (OPR) yang secara lansung melemahkan selera pengguna untuk membeli hartanah.

 

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez memberitahu DagangNews bahawa kenaikan OPR dan ditambah dengan kenaikan harga hartanah, selera pengguna untuk membeli hartanah pasti akan terjejas secara negatif.

 

"Dengan pembentangan Bajet 2023 yang akan datang tidak lama lagi, kami berharap akan ada peruntukan yang boleh membantu memacu pasaran hartanah dan membantu mereka yang merancang untuk memulakan perjalanan pemilikan rumah mereka.

 

"Kajian sentimen pengguna H2 2022 juga telah menunjukkan bahawa lebih 69 peratus daripada responden merancang untuk membeli rumah jika Kempen Pemilikan Rumah dihidupkan semula,” kata beliau lagi.

 

Kempen pemilikan rumah telah berakhir pada 31 Disember 2021 dan tidak dilanjutkan dalam Bajet 2022.


 

Sheldon Fernandez
                Sheldon Fernandez

 


Kenaikan 25 mata asas dalam OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.50 peratus untuk kali ketiga berturut-turut mengakibatkan kebanyakan pemberi pinjaman untuk lebih berhati-hati dalam memberikan pinjaman.

 

Keputusan Bank Negara Malaysia itu menjadikan kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, masing-masing.

 

Fernandez turut berkata pengguna PropertyGuru mempunyai kesedaran yang tinggi tentang inisiatif kerajaan dan kelayakan untuk perumahan mampu milik dan kesan dari kemelesetan, inflasi, kenaikan harga dan kenaikan OPR yang berterusan, PropertyGuru menjangkakan bakal pembeli rumah akan terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga keseluruhan kos sara hidup kembali stabil.

 

Pada masa yang sama, PropertyGuru mendapati bakal pembeli rumah menghadapi masalah kemampuan dalam perjalanan pemilikan rumah mereka, dengan 51% responden memahami bahawa mereka tidak layak untuk skim perumahan mampu milik kerajaan, dan tidak mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

Bajet2023

Kajian sentimen pengguna itu turut melaporkan bahawa Lebih separuh daripada rakyat Malaysia berpendapat bahawa rumah di bawah skim rumah mampu milik sepatutnya berharga antara RM150,001 dan RM300,000 dan persepsi terhadap usaha kerajaan untuk menjadikan rumah mampu milik terus menunjukkan trend menurun.

 

Terdahulu Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah telah berkesempatan bertemu dengan National Property Information Centre dan pelbagai agensi seperti CIDB, pihak pemaju, kontraktor dan agensi yang terlibat dalam Industri Perumahan bagi sesi libat urus.

 

Antara faktor utama yang diutarakan ialah ‘overhang property’, masalah kewangan dan faktor kenaikan harga rumah di Malaysia dan isu kenaikan harga barang binaan dan kesukaran mendapatkan tenaga kerja turut dibincangkan dalam sesi libat urus tersebut. – DagangNews.com