Yeo’s Malaysia labur RM20 juta untuk tingkatkan pengeluaran dan kembangkan bekalan global   | DagangNews Skip to main content

Yeo’s Malaysia labur RM20 juta untuk tingkatkan pengeluaran dan kembangkan bekalan global  

CEO Yeo Hiap Seng Group, Samuel Koh bersama produk keluaran Yeo's menggunakan kaedah Pengeluaran Combi.

 


KUALA LUMPUR 12 Okt Yeo Hiap Seng (Malaysia) Bhd atau Yeo’s telah melaburkan RM20 juta ke arah Barisan Pengeluaran dan Pengisian Combi berkelajuan tinggi (Pengeluaran Combi) untuk memperkukuhkan lagi keunggulannya dalam kategori Minuman Asia, sekaligus memenuhi permintaan produk global dan menambah baik pengalaman pengguna dalam menikmati rangkaian produk Yeo’s.

 

Pengeluaran Combi, yang pertama di Malaysia, memenuhi komitmen Yeo’s dalam mengotakan azam jenama tersebut untuk ‘Sajikan Kebaikan’ dengan menginovasi kualiti pengeluaran di samping menyuntik nafas baharu dalam reka bentuk dan ciri produknya, agar terus menonjol dan menjadi pilihan pengguna bijak era ini.

 

Teknologi pengeluaran berkelajuan tinggi baharu Yeo’s tersebut bakal mengeluarkan rangkaian produk Combi yang bergaya, berfungsi dan bercirikan kelebihan unggul yang menjadi idaman pengguna.

 

Kini, pengguna cuma perlu memutar dan menuang isi pek, tanpa perlu menanggalkan sebarang lapisan aluminium. Selain itu, reka bentuk yang dinaik taraf ini membawakan pengudaraan yang lebih baik supaya produk mudah dituang tanpa tertumpah. Penutupnya pula boleh kembali ditutup dan kalis tumpah walau dalam apa jua kedudukan penyimpanan, manakala bentuknya memudahkan pek untuk diangkat dan mengelakkannya dari mudah terlepas dari pegangan.

 

Lantas, rangkaian Combi yang baharu ini akan lebih memudahkan pengguna dan dengan ketara, dapat membezakan produk Yeo’s daripada jenama lain.

 

Mengulas mengenai pelaburan strategik ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yeo Hiap Seng, Samuel Koh berkata, pembaharuan melalui Barisan Combi berkelajuan tinggi ini membawa banyak potensi untuk jenama dan bisnes Yeo's.

 

Menurutnya, ia meningkatkan kemampuan Yeo's untuk lebih pantas menembusi pasaran dengan inovasi produk baharu yang kini berada dalam perancangan, termasuk minuman sihat dan berkhasiat untuk masyarakat hari ini yang mengutamakan kesihatan mereka. 

 

''Pelaburan bernilai RM20 juta yang meningkatkan pengeluaran ini akan dapat mengeluarkan bekalan untuk pasaran Malaysia dan juga pasaran lain Kumpulan tersebut.

 

"Sebagai sebuah Kumpulan, kami menilai langkah ini dari sudut jangka masa panjang. Justeru, kami percaya bahawa pelaburan ini akan memperkuatkan legasi jenama Yeo’s dan kedudukan hadapannya di pasaran Malaysia, selain memesatkan usaha membangunkan Yeo’s sebagai sebuah Kumpulan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu, Jerson Uy, Ketua Pegawai Eksekutif Yeo’s, Malaysia, Brunei dan Indonesia berkata, sehingga kini, barisan pengeluaran baru ini telah mengeluarkan pelbagai minuman Asia Yeo’s yang terkemuka, termasuk susu soya, teh krisantimum dan banyak lagi.

 

 

jerson uy
Jerson Uy

 

 

Apabila beroperasi dengan kapasiti maksimum kata beliau, barisan baharu ini dapat melipatgandakan pengeluaran pek minuman 1 liter, yang merupakan fokus pengeluaran Yeo’s buat masa ini.

 

Menurutnya, ia adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan untuk pek keluarga, di mana sebahagian besar permintaan ini didorong oleh perintah pergerakan dan norma baharu bekerja dari rumah. 

 

Beliau berkata, pelaburan terbaru ini juga akan memerlukan lebih ramai pekerja, sekaligus menyumbang kepada peluang pekerjaan di Malaysia di kala musim wabak yang mencabar ini.

 

Yeo's kini merupakan No.1 Keseluruhan di Malaysia untuk Segmen Minuman Asia, di bawah Kategori Minuman Asia. Barisan Combi ini dilihat akan memperkukuhkan lagi kedudukan Yeo’s sebagai No. 1 di pasaran.

 

Manakala di rantau ini secara amnya, Yeo’s sentiasa melabur ke arah menyemai peluang baharu untuk terus berkembang maju. Ini termasuklah berkolaborasi dengan Oatly dari Sweden - syarikat minuman berasaskan oat paling popular dan berkembang pesat di dunia - untuk menghasilkan minuman oat dan membekalkannya ke pasaran di seluruh Asia.

 

Di samping itu, menyumbang kepada sebahagian visi jangka panjang Yeo’s untuk menjadi syarikat Asia terkemuka yang menawarkan produk makanan dan minuman inovatif dengan kebaikan semula jadi kepada pengguna, Yeo’s telah melaburkan AS$1 juta ke dalam Next Gen Foods Pte. Ltd (NGF). NGF, yang disokong oleh Temasek Holdings Singapura, menjalankan bisnes teknologi makanan berasaskan tumbuhan.

 

Sebagai sebuah syarikat yang berakar umbi di Malaysia, Yeo's juga telah melancarkan Yeo's Helping Hands, sebuah program Tanggungjawab Sosial (CSR) yang kian memacu usaha syarikat untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

 

Baru-baru ini, dengan kerjasama Yayasan Amal Ng Teng Fong, bantuan makanan bernilai lebih RM1.4 juta telahpun diagihkan kepada kira-kira 40,000 keluarga. – DagangNews.com