Zainal Abidin Putih dilantik Ahli Lembaga Pengarah Khazanah | DagangNews Skip to main content

Zainal Abidin Putih dilantik Ahli Lembaga Pengarah Khazanah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah melantik Datuk Zainal Abidin Putih sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 16 November 2020. 

Khazanah dalam sebuah kenyataan berkata, Zainal Abidin juga menganggotai Jawatankuasa Lembaga bagi Audit dan Risiko. 

“Pengurusan dan kakitangan Khazanah ingin mengucapkan selamat datang kepada Zainal Abidin dan kami berharap dapat terus bekerja rapat dengan Lembaga Pengarah yang dipimpin oleh Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi menggalas mandat untuk membangunkan kekayaaan jangka panjang Malaysia,” kata Khazanah. 

Zainal Abidin pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bebas bukan eksekutif di Kumpulan CIMB Holdings Berhad sehingga April tahun lalu.

Menerusi laman web Khazanah, Zainal Abidin kini merupakan pengerusi di beberapa syarikat termasuk Dutch Lady Milk Industries Berhad, Land & General Berhad, Tokio Marine Insurance (Malaysia) Berhad dan Touch’ n Go Sdn Bhd. 

Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad serta beberapa syarikat sendirian berhad lain.

“Zainal Abidin mempunyai pengalaman luas dalam bidang audit yang ditimba menerusi kerjaya beliau sebagai akauntan dalam pelbagai industri utama termasuk perbankan, insurans, tenaga, pengangkutan, pembuatan, agensi kerajaan, perladangan, harta tanah, perhotelan, syarikat pelaburan dan amanah saham. 

“Beliau juga memiliki pengalaman luas dalam percukaian dan perundingan pengurusan, khususnya dalam bidang pemerolehan, pengambilalihan, penggabungan, penyusunan semula dan penyenaraian awam syarikat,” kata maklumat itu. 

Dalam pada itu, Zainal Abidin juga merupakan felo Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales, serta merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.

Beliau merupakan mantan presiden Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia, mantan pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, serta mantan ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). - DagangNews.com