Zurich Malaysia - TheNoor beri perlindungan kemalangan peribadi percuma | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia - TheNoor beri perlindungan kemalangan peribadi percuma

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Nazrul Hisham Abdul Hamid

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Zurich Malaysia dan aplikasi gaya hidup Muslim TheNoor memberikan perlindungan kemalangan peribadi (PA) percuma untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi tempoh mencabar ketika ini.

 

Sebanyak 30,000 pengguna pertama TheNoor yang membeli kad Touch n Go edisi terhad TheNoor melalui aplikasi tersebut akan mendapat perlindungan percuma selama 3 bulan.

 

Pada bulan pertama, pengguna akan dilindungi oleh Zurich General Takaful Malaysia Berhad (Zurich General Takaful) manakala 2 bulan berikutnya oleh TheNoor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Nazrul Hisham Abdul Hamid berkata, pihaknya mahu pengguna aplikasi mempunyai akses mudah mendapatkan perlindungan melalui produk Zurich yang sesuai dan dengan harga yang berpatutan untuk menambahbaik kehidupan.

 

"Inilah yang mendorong kerjasama kami dengan aplikasi TheNoor, untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat, dengan lebih baik. 

 

"Pelanggan kini dapat memperoleh perlindungan PA hanya dengan beberapa langkah melalui aplikasi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pelan PA ini adalah berdasarkan prinsip-prinsip syariah yang menawarkan perlindungan menyeluruh untuk kematian akibat kemalangan, kecacatan kekal, dan pendapatan hospital. 

 

Promosi ini sah sehingga tawaran ditebus sepenuhnya.Pengguna boleh terus menikmati perlindungan PA oleh Zurich General Takaful ini dengan kos yang sangat berpatutan, iaitu RM1 sebulan selepas tempoh percuma.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Noor Neelofa Mohd Noor berkata, TheNoor adalah aplikasi gaya hidup Muslim yang baru dilancarkan dan pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Zurich General Takaful untuk menawarkan PA unik yang akan dihargai oleh pengguna. 

 

"Kami telah memudahkan cara untuk pengguna mendapatkan perlindungan secara langsung daripada aplikasi melalui ciri baharu kami 'TheNoorCommerce'," katanya.

 

TheNoor adalah syarikat berpandukan syariah yang bertujuan untuk memberikan maklumat berguna untuk mempertingkatkan gaya hidup Muslim. 

 

Ciri-ciri istimewanya adalah termasuk bacaan Al-Quran, transliterasi dan tafsiran pelbagai bahasa dalam bentuk teks dan audio, jadual solat di seluruh dunia, pencarian lokasi masjid dan arah kiblat masa nyata. 

 

Pengguna aplikasi juga layak mendapat ganjaran lain seperti tawaran istimewa atau potongan harga. - DagangNews.com