Hasrat melepaskan bahagian abang kepada adik tidak tercapai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 24 April 2024

HASRAT MELEPASKAN BAHAGIAN ABANG KEPADA ADIK TIDAK TERCAPAI

 

 

1 Syawal sudah berlalu. Pelbagai kisah berkaitan harta pusaka sampai ke telinga saya. Ada dalam kalangan waris yang bergaduh sesama sendiri apabila topik harta pusaka dibincangkan.

 

Saya sudah ulas dalam artikel saya yang ke-161 (klik pautan di bawah) tentang kenapa waris berbalah di pagi Syawal akibat harta pusaka.

 

BACA DI SINI: `Mood' Hari Raya hancur bila mula berbincang hal harta pusaka

 

Namun tidak kurang juga waris-waris yang berjaya bermuafakat dan bersetuju untuk menguruskan harta pusaka peninggalan ibu bapa dengan kadar yang segera.

 

Mereka di dalam kategori ini faham bahawa lebih lewat ditangguhkan urusan harta pusaka ini, ia akan menjadi lebih kompleks dan sukar kerana ada kemungkinan waris-waris yang sudah bermuafakat itu mati.

 

Ini menyebabkan bahagian waris yang mati itu diwarisi pula waris-waris mereka dan ada kemungkinan permuafakatan yang telah dipersetujui bersama sebelum ini tidak boleh dilaksanakan.

 

 

iktisad

 

 

Saya pernah bertemu dengan 2 orang anak lelaki yang telah pun bersetuju tentang bagaimana harta pusaka arwah ayah dan ibu mereka mahu diagihkan.

 

Si abang yang menetap di Lembah Kelang, telah berkeluarga dan berkerjaya, memutuskan untuk menyerahkan bahagian faraidnya  yang  berhak iaitu ½ bahagian kepada adik lelakinya yang tinggal di kampung.

 

Abang ini merasakan adiknya lebih memerlukan harta pusaka itu untuk meneruskan kehidupannya memandangkan adik itulah yang selama ini membantu menguruskan kebun kelapa sawit ibu bapa mereka.

 

Tambahan pula, adik itu jugalah yang telah berbakti menjaga ibubapanya sepanjang hidup mereka.

 

Si adik sangat terhutang budi dengan abangnya kerana bersedia melepaskan bahagian itu. Fikir si adik, dapatlah dia menggunakan hasil kebun kelapa sawit itu untuk menyara kehidupan keluarganya.

 

 

wainuiomata
Gambar hiasan

 

 

Maka proses permohonan bicara kuasa di Pejabat Pusaka Kecil pun dimulakan si adik selepas permuafakatan agihan ini dipersetujui.

 

Ditakdirkan, si abang telah meninggal dunia sebelum proses bicara kuasa berjalan.

 

Secara automatik waris-waris si abang berhak ke atas ½ bahagian faraid milik simati. Keadaan bertambah kritikal apabila si abang mempunyai dua orang isteri dengan lapan orang anak.

 

Ini bermakna waris-waris yang berhak ke atas ½ bahagian abang itu ialah kedua-dua isterinya pada kadar 1/16 setiap seorang manakala baki 14/16 ialah milik anak-anak si abang.

 

Kini si adik lelaki terpaksa pula berurusan dengan 10 orang waris-waris abangnya! Ketika bicara kuasa, kesemua 10 orang waris ini berkeras ingin menuntut bahagian masing-masing ke atas harta pusaka yang dibicarakan.

 

Hasrat si abang melepaskan bahagiannya kepada si adik tidak terlaksana kerana si abang mati sebelum bicara kuasa dijalankan.

 

Si adik bercerita kepada saya, hidupnya kini agak kelam kabut kerana separuh dari hasil kebun yang tidak seberapa itu perlu diserahkannya kepada 10 waris abangnya.

 

10 orang waris ini tidak pernah tahu titik bengik pengurusan kebun kelapa sawit malah mereka tidak pernahpun pulang ke kampung melihat keadaan kebun. Semuanya diusahakan si adik dengan peluh keringatnya.

 

 

iktisad
Gambar hiasan

 

 

Namun setiap bulan, 10 orang waris ini mempertikaikan hasil kebun yang mereka peroleh. Mereka menuduh si adik ini menyeleweng dan menipu hasil kebun.

 

“Lebih baik saya tinggalkan sahaja kebun ni. Kalau saya berpenat lelah pun hasilnya saya terpaksa kongsi dengan 10 orang ini.

 

“Mereka tak pernah tahu pun apa-apa urusan atau susah payah saya mengusahakan kebun tetapi hanya nak duit saja.

 

“Lebih baik saya bekerja sebagai pengawal keselamatan sahaja, semua gaji saya yang punya.” Komen si adik dengan nada sedih.

 

26 tahun di dalam industri perancangan harta, inilah antara situasi biasa yang saya jumpa. Ramai pasangan Islam yang mempunyai anak lelaki sahaja beranggapan bahawa tiada keperluan untuk mereka merancang harta kerana harta mereka ‘tidak lari’ kepada pihak lain kerana anak lelaki ini dikategorikan sebagai ‘assobah’ atau waris yang menghabiskan semua baki harta pusaka.   

 

Kes 2 adik-beradik lelaki yang saya huraikan ini menunjukkan bahawa kebarangkalian kes pusaka bermasalah walaupun hanya ada anak lelaki sahaja juga boleh berlaku.

 

Orang Islam perlu faham bahawa kes pusaka ini mempunyai banyak kesan rantaian atau ‘chain effect’.

 

Apabila kes pusaka lambat diuruskan, kebarangkalian waris-waris generasi kedua terlibat apabila generasi pertama meninggal dunia adalah sangat tinggi.

 

Kerana itu di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami memperkenalkan perkhidmatan pengurusan pusaka Al-Wasitah.

 

 

hikayat

 

 

Antara objektif utama perkhidmatan ini ialah untuk memastikan pengurusan pusaka dapat dibuat dengan seberapa segera yang boleh bagi memastikan situasi kes 2 beradik di atas tidak berlaku. Paling menarik perkhidmatan pengurusan pusaka ini tidak dikenakan sebarang caj perkhidmatan kepada waris-waris!

 

Ada banyak faktor luar kawalan di dalam pengurusan harta pusaka. Ini adalah salah satu contoh daripadanya.

 

Oleh itu tidak kira sama ada anda hanya mempunyai anak lelaki sahaja, ada anak lelaki dan anak perempuan,  tiada anak kandung langsung, ada anak angkat, bujang ataupun sudah berkahwin, semuanya perlu melihat perancangan harta sebagai satu elemen yang penting untuk dibuat selagi hayat masih ada. 

 

 

ariffin sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

dagangnews

  

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH 

Portfolio Tags