13 Projek Jalan Luar Bandar Sarawak siap sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

13 Projek Jalan Luar Bandar Sarawak siap sepenuhnya

Sarawak

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Sebanyak 13 daripada 64 Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sarawak yang dijalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berjaya disiapkan sepenuhnya.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong berkata, sebanyak 39 projek sedang dalam peringkat perlantikan perunding dan reka bentuk, dalam peringkat perolehan (3) dan pembinaan (9).

 

Henry Sum Agong
Henry Sum Agong 

 

"Pihak kementerian juga telah meluluskan pelaksanaan empat  Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) berjumlah RM1.57 juta di Parlimen Kota Samarahan bagi tahun 2020. 

 

"Setakat Oktober 2020, dua daripada projek tersebut telah siap sepenuhnya manakala dua lagi projek sedang di peringkat pelaksanaan," jelasnya dalam sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Jawapan tersebut merujuk kepada pertanyaan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta beliau menyatakan status pencapaian dan tindakan terkini kementerian untuk menambah infrastruktur kawasan luar bandar seperti bekalan air, bekalan elektrik, ameniti sosial, jalan perhubungan khasnya di Kota Samarahan. 

 

Tambah beliau, bagi Program Ameniti Sosial (PAMS) pula, sebanyak  tiga projek berjumlah RM1.025 juta telah diluluskan di Parlimen Kota Samarahan bagi tahun 2020. 

 

Rubiah Wang
Rubiah Wang

 

Setakat 25 Oktober 2020, satu daripada projek tersebut telah siap sepenuhnya manakala dua lagi projek sedang di peringkat pelaksanaan.

 

Dalam aspek pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sarawak bagi tahun 2020, peruntukan berjumlah RM285.6 juta diluluskan yang melibatkan 16 projek yang akan memberi bekalan kepada 3,200 buah rumah.

 

Sementara itu, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Parlimen Kota Samarahan pula, satu projek BALB yang telah siap sepenuhnya pada 19 Mac 2018 iaitu Projek Saluran Paip Utama dari Paip Loji Batu Kitang ke Tangki Bukit Entingan dan ke Tangki Batu 9 ¾ serta sebuah Tangki Air di Batu 9 ¾ Kuching.

 

Projek berkenaan melibatkan kos sebanyak sebanyak RM92 juta. - DagangNews.com