KUALA LUMPUR 2 Jan - KPMG Malaysia melantik Foong Mun Kong sebagai rakan pengurusan berkuat kuasa 1 Januari 2025 bagi menggantikan Datuk Johan Idris, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif.
Mun Kong memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang audit dan jaminan, dengan jawatan terakhir sebagai ketua audit di firma tersebut.
Selain daripada sumbangannya kepada firma, beliau turut memegang jawatan sebagai Naib Presiden Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), ahli majlis Institut Akauntan Malaysia, serta ahli Jawatankuasa Permohonan dan Pelaksanaan MFRS di Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).
Johan berkata, peralihan itu menandakan bab baharu untuk KPMG di Malaysia dan menyatakan komitmen tidak berbelah bahaginya terhadap kualiti dan kepercayaan oleh kumpulan.
"Saya yakin KPMG akan terus mencapai kejayaan. Saya berharap dapat terus menyokong perjalanan ini dalam peranan baharu saya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif," katanya dalam satu kenyataan.
Mun Kong pula berkata, beliau berbesar hati dengan pelantikan berkenaan serta komited untuk memimpin KPMG Malaysia bersama pasukan kepimpinan yang hebat.
"Barisan kepimpinan ini akan membantu KPMG untuk terus berkembang dan memberi manfaat jangka panjang kepada pelanggan dan komuniti," jelasnya. - DagangNews.com