2020 : Pelaburan langsung asing Malaysia menjunam 68% | DagangNews Skip to main content

2020 : Pelaburan langsung asing Malaysia menjunam 68%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Malaysia yang sebelum ini menyaksikan pelaburan langsung asing (FDI) antara tertinggi di ASEAN, ‘tergelincir’ hingga ke kedudukan antara tercorot.

 

Pada tahun lalu, Malaysia menyaksikan FDI menjunam sehingga 68% kepada AS$2.5 bilion, berdasarkan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

 

Salah satu helaian laporan berkenaan yang mencatatkan prestasi FDI negara-negara ASEAN dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook miliknya hari ini. 

 

laporan UNCTAD

 

Dalam helaian laporan itu, FDI Malaysia pada tahun lalu ketinggalan di belakang Singapura, Indonesia, Vietnam, dan Filipina. 

 

Kesemua negara itu mencatatkan penurunan FDI termasuk Thailand, kecuali Filipina yang menokok 29% kepada AS$6.4 bilion. 

 

“FDI di Asia Tenggara menguncup sebanyak 31% kepada AS$107 bilion susulan penurunan pelaburan ke penerima terbesar di rantau itu. 

 

“Aliran masuk ke Singapura jatuh sebanyak 37% kepada AS$58 bilion, Indonesia menurun sebanyak 24% kepada AS$18 bilion, Vietnam menjunam sebanyak 10% kepada AS$14 bilion dan Malaysia jatuh sebanyak 68% kepada AS$2.5 bilion.

 

“Di Thailand, FDI menguncup sebanyak 50% kepada AS$1.5 bilion, susulan pelupusan saham oleh Tesco (United Kingdom) kepada sebuah kumpulan syarikat pelabur Thailand bernilai AS$9.9 bilion,” jelas laporan itu. 

 

Secara keseluruhannya pada tahun lalu, aliran FDI ke negara-negara sedang membangun menyusut 12% kepada sekitar AS$616 bilion, tambah laporan itu. 

 

Penurunan itu dapat dilihat di kesemua jenis pelaburan termasuk nilai projek belum dikembangkan, jumlah projek tawaran kewangan rentas sempadan serta nilai jualan penggabungan dan pengambilalihan rentas sempadan. - DagangNews.com