749 bekas pekerja Malindo Air terima faedah SIP RM928,000 | DagangNews Skip to main content

749 bekas pekerja Malindo Air terima faedah SIP RM928,000

Malindo Airways

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Seramai 749 bekas pekerja Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air) telah menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan jumlah RM928,000.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, jumlah penerima faedah itu adalah daripada 1,086 pekerja Malindo Airways yang telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan faedah SIP hingga 15 November 2020.

 

"Dalam isu Malindo Airways, sehingga 15 November 2020, seramai 1,086 pekerja Malindo Airways telah pun mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan faedah SIP. 

 

"Daripada jumlah tersebut, seramai 749 penerima faedah telah menerima bantuan SIP berjumlah RM928,000. 

 

M Saravanan
M Saravanan

 

"Baki pemohon masih dalam proses tindakan Perkeso," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Jawapan tersebut diberikan setelah Ramkarpal Singh meminta beliau menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi membantu pekerja-pekerja yang telah diberhentikan kerja (retrenched) sepertimana yang telah dilaporkan secara meluas dalam media massa baru-baru ini.

 

Fakta berkaitan pekerja Malindo Airways itu diambil dan dinyatakan sebagai jawapan dan contoh terhadap persoalan berkenaan.

 

Dalam jawapan yang sama, M Saravanan turut memberitahu fungsi Portal MYFutureJobs untuk membantu pekerja yang diberhentikan bagi mendapatkan pekerjaan baharu.

 

Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

 

Jelasnya, dalam kes Malindo Airways, seramai 96 bekas pekerja telah berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan baharu melalui portal berkenaan.

 

"Proses untuk membuat pemadanan dan carian pekerjaan untuk bekas pekerja Malindo Airways sedang giat diteruskan.

 

"Selain itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga, melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau HRDF mempunyai pelbagai inisiatif di bawah Penjana HRDF yang dapat membantu pekerja yang telah hilang pekerjaan atau yang mungkin akan kehilangan kerja," tambah beliau lagi.

 

KSM melalui PSMB turut melaksanakan skim Place & Train di bawah inisiatif Penjana HRDF.

 

Melalui skim itu, KSM tidak memandang mudah berhubung aspek penempatan pelatih dalam pekerjaan yang dijanjikan di samping melakukan pengesanan di peringkat awal sejurus pelatih tersebut menamatkan latihan. - DagangNews.com