8 inisiatif SSM kurangkan beban peniaga akibat PKP | DagangNews Skip to main content

8 inisiatif SSM kurangkan beban peniaga akibat PKP

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) giat menggerakkan sektor komuniti peniaga dan korporat yang terjejas melalui lapan inisiatif inklusif untuk mengurangkan beban sektor berkenaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Datuk Alexander Nanta Linggi
Datuk Alexander Nanta Linggi

 

Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi membentangkan lapan insiatif yang dijalankan melalui SSM;

 


1) Melaksanakan tempoh moratorium 30 hari dari tarikh berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyerahkan dokumen berkanun SSM di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang perlu diserah simpan kepada SSM bermula 18 Mac 2020 hingga 30 September 2020 di mana fi lewat serah simpan akan dikecualikan.

 


2) Memberikan pengecualian fi lewat serah simpan bagi dokumen berkanun di bawah Akta Syarikat 2016 berikutan arahan kerajaan melaksanakan PKPB dan PKPD di beberapa kawasan mulai 9 November 2020 hingga 31 Disember 2020. 

 

3) SSM turut melibatkan pelanjutan masa untuk serah simpan penyata kewangan kepada SSM bagi tahun kewangan berakhir 1 September 2019 hingga 31 Mac 2020.

  • Syarikat perlu membuat permohonan kepada SSM dan pengecualian fi sebanyak RM100 diberikan bagi tujuan tersebut. 
  • Pelanjutan masa juga diberikan kepada syarikat untuk mengadakan AGM.
  • Syarikat perlu membuat permohonan kepada SSM dan pengecualian fi sebanyak RM100 diberikan bagi tujuan pelanjutan masa.

 

4) SSM telah menaikkan nilai ambang keberhutangan di bawah seksyen 466 Akta Syarikat 2016 daripada RM10,000 kepada RM50,000 untuk mengurangkan tindakan penggulungan terhadap syarikat.

  • Tempoh untuk menjawab notis tuntutan oleh sesebuah syarikat juga telah dipanjangkan kepada 6 bulan berbanding tempoh 21 hari sebelum PKP.

 

5) KPDNHEP melalui SSM juga telah memberi pengecualian kepada Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) daripada keperluan untuk mendapatkan kelulusan Menteri KPDNHEP atau SSM untuk membuat kutipan sumbangan berkaitan pandemik COVID-19 sehingga 31 Disember 2020. 

  • SBMJ yang tidak mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 daripada LHDNM masih dibenarkan untuk membuat kutipan sumbangan untuk tujuan pandemik COVID-19 dengan syarat, SBMJ tersebut perlu membuat permohonan kepada SSM bagi mendapatkan kelulusan Menteri KPDNHEP atau SSM dalam tempoh 30 hari selepas tempoh PKP berakhir.

 

 

6) SSM telah melanjutkan tempoh masa bagi setiausaha syarikat mematuhi keperluan 20 mata Continuing Professional Education (CPE) untuk pembaharuan perakuan amalan sehingga 31 Disember 2020 tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. 

 

 

7) SSM juga telah memberikan kadar pengurangan kompaun iaitu maksimum 90% daripada nilai asal kompaun terhadap kompaun-kompaun bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 sehingga 30 Jun 2020.

  • Kompaun atas kelewatan pembaharuan pendaftaran perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dalam tempoh PKP juga diberikan pengecualian iaitu dari 17 Mac hingga 31 Disember 2020.

 

 

8) SSM telah memperkenalkan Insentif Pengurangan Kompaun Bagi Pembatalan Nama Syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 bermula 17 Ogos 2020 sehingga 31 Disember 2020. 

  • Kadar pengurangan kompaun 90% ini terpakai kepada semua kompaun di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016. 

 

 

Insiatif yang dibentangkan itu adalah sebagai jawapan kepada soalan Cha Kee Chin (PH- Rasah) dalam pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Cha Kee Chin
Cha Kee Chin

 

Dalam jawapan yang sama, beliau memberitahu, SSM akan merangka kaedah yang bersesuaian bagi membolehkan golongan usahawan belia dan ibu tunggal dalam kumpulan B40 untuk mendapat manfaat skim pendaftaran perniagaan percuma.

 

"Usaha SSM memperluaskan inisiatif pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan belia dan ibu tunggal B40 ini bakal mencetus minat berniaga dan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan ini untuk menceburi bidang perniagaan.

 

"Inisiatif itu juga mampu menjana pulangan pendapatan tambahan yang dapat menampung kehidupan seharian mereka seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negara ini," jelas beliau lagi. - DagangNews.com