87% majikan patuh peraturan industri sarung tangan | DagangNews Skip to main content

87% majikan patuh peraturan industri sarung tangan

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Sebanyak 87% majikan daripada 105 kilang pembuatan sarung tangan getah mempunyai tahap pematuhan terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, daripada jumlah kilang yang diperiksa itu, hanya enam syarikat dilihat masih menunjukkan tahap kepatuhan yang tidak memuaskan.

 

"Sebanyak 105 tempat kerja telah diperiksa dan hasil operasi mendapati majikan mempunyai tahap pematuhan terhadap perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  (KKP) yang tinggi (87%).

 

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan 16 notis kepada pihak atasan syarikat yang tidak mematuhi peraturan untuk melakukan penambaikan yang diperlukan.

 

"Kami akan terus memantau syarikat yang tidak mematuhi undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya.

 

.

 

Beliau berkata demikian ketika mengetui Operasi Khas Pematuhan Kilang Pembuatan Glove Terhadap Perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan SOP Pencegahan COVID-19 (Operasi Glove) di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah, WRP Asia Pacific Sdn. Bhd. di Bandar baru Salak Tinggi, Selangor.

 

Turut hadir dalam operasi tersebut ialah Ketua Pengarah JKKP, Ir Zailee Dollah.

 

Operasi Glove dijalankan sepanjang tempoh 18 hingga 25 Januari 2021 di seluruh negara.

 

Operasi tersebut digerakkan sebagai usaha mencegah penularan COVID-19 di tempat kerja.

 

Selain itu, Operasi Glove turut memberi fokus kepada industri yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai dan mempunyai risiko yang lebih tinggi secara relatif berbanding dengan industri lain. - DagangNews.com