Skip to main content

Abang rider! Boleh pantas tapi ikut peraturan jalan raya, please!

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

PERTAMANYA, kita amat menghargai fungsi dan peranan penghantar makanan atau `abang rider’, tidak kisah apa jenama atau warna – hijau, merah jambu, kuning, hitam. Terima kasih semua!

 

Tambah-tambah lagi masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, orang ramai tidak boleh bergerak jauh dan tidak dibenarkan makan di dalam restoran. Maka, beli secara dalam talian, kemudian tunggu ketibaan abang rider.

 

Paling bersyukur, bila abang rider tiba tepat pada masanya seperti dicatat dalam aplikasi. Lagi dahsyat kalau dia tiba lebih awal. Yang kurang seronok, order tiga lauk, ada satu tiada. Tidak tahu salah abang rider atau restoran. Pernah terjadi jugalah.

 

Bercerita bab masa ini, kita difahamkan ia menjadi satu daripada prasyarat penting dalam keberkesanan sesuatu perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat penghantar makanan ini.

 

Ia menentukan tinggi rendahnya hasil ganjaran diperoleh oleh abang rider sama ada berbentuk komisen atau kekerapan tempahan yang diterima.

 

Seandainya individu abang rider menerima `markah rendah’ atau aduan pelanggan, ia memberi kesan kepada sistem pemarkahan yang diterjemahkan sebagai sistem upah minggu mereka.

 

Tanpa perlu pergi ke butiran terperinci perjanjian antara syarikat dengan individu abang rider, memadai untuk kita faham bahawa lagi kerap terima tempahan, misalnya empat tempahan dalam sejam, seseorang itu dapat meraih kira-kira RM20 sejam.

 

Digandakan pula dengan purata waktu kerja lapan jam sehari RM20 sejam X 8 jam = RM160 sehari. Kemudian darab pula 30 hari, boleh capai sekitar RM4,800 sebulan.

 

merrepak

 

Ada pula kalangan abang rider yang berstatus part-time iaitu ada kerja azali tetapi jadi abang rider hanya pada Sabtu dan Ahad, ada masanya boleh capai setinggi RM250.

 

Kiraan di atas adalah berdasarkan kawasan penduduk padat dan luas iaitu bandar-bandar besar. Tidak mencakupi semua.

 

Difahamkan syarikat-syarikat penghantaran makanan juga menyediakan gaji ikut jam pada purata RM4 sejam. Jadi ada atau tidak tempahan, tetap terima RM4 sejam tetapi biasanya waktu tersebut diguna bagi abang-abang rider mengembalikan tenaga (rehat makan minum).

 

Kita lihat abang rider yang benar-benar berdedikasi rela meredah hujan lebat untuk menghantar makanan yang dipesan oleh pelanggan. Ini antara perkara yang kita sebagai pelanggan harus hargai dan sanjung kesungguhan mereka melaksanakan tugas.

 

merrepak

 

Jadi kita faham bahawa tugas seseorang abang rider (termasuk wanita – akak rider) perlu memenuhi berapa `trip’ pesanan pelanggan. Lagi banyak lagi bagus.

 

Tetapi `banyak’ ini hanya boleh direalisasikan dengan ‘kepantasan’. Persoalan maha besar hendak disampaikan di dalam kolum Merrepak ini ialah `kepantasan’ yang bagaimana?

 

Pelanggan yang tunggu di rumah, pasti seronok makanan cepat sampai. Lengkap semua yang dipesan. Bagi 5 bintang!

 

Kepantasan apa yang membimbangkan? Kepantasan melulu di atas jalan!

 

Ya. Acapkali lihat abang-abang rider melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat. Memotong kereta dalam kelajuan tinggi dan memecut walaupun di dalam kawasan perumahan.

 

Ya tidak semua abang rider buat perangai sedemikian. Tetapi segelintir.

 

Masalahnya, segelintir inilah merosakkan imej semua penghantar makanan, diumpamakan sebagai `teroris jalanan’.

 

merrepak

 

Ini semua tidak perlu, bukan? Sebab perkhidmatan penghantaran makanan sememangnya dimahukan oleh orang ramai, disukai dan dihargai pelanggan.

 

Dan pandangan marah ini bukan datang daripada pemandu kenderaan atas jalan semata-mata. Pemandu kenderaan ini juga pengguna perkhidmatan abang-abang rider.

 

Nasihat kita ialah abang-abang rider tidak perlu berkejar-kejar sangat, bawalah motosikal dengan cermat, patuhilah lampu isyarat. Senang saja.

 

Bukan hendak mencerca atau membuli sesiapa, sekadar minta jasa baik abang-abang rider ikut peraturan jalan raya.

 

Saya tidak tahulah apakah syarikat-syarikat penghantaran makanan ada ambil kisah pun bab rider mereka melanggar peraturan jalan raya atau tergolek atas jalan kemalangan.

 

Tetapi yang jelas dan ketara ialah `prasyarat pantas tiba ke pelanggan’ itu walaupun bagus untuk pelanggan tetapi ia juga `mendorong’ abang rider untuk menjadi penunggang Grand Prix di atas jalan.

 

merrepak

 

Bagaimana hendak selesaikan masalah ini?

Tidak susah. Abang rider jangan salah sangka bahawa kita minta mereka bawa perlahan macam pejalan kaki pula. Tidaklah begitu.

 

Cuma bawalah dengan cermat, ikut peraturan. Lampu merah janganlah dilanggar. Perangai penunggang motor mat rempit, janganlah dibawa sekali bila menghantar makanan.

 

Boleh bang? Terima kasih abang-kakak rider yang dihormati sekalian.

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Whole Lotta Love - Led Zeppelin berulang-ulang kali.
 
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.