[MERREPAK] Bila Sinar Harian tampil dengan `Disclaimer’ mengenai status kebebasan media | DagangNews Skip to main content

[MERREPAK] Bila Sinar Harian tampil dengan `Disclaimer’ mengenai status kebebasan media

 MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SINAR HARIAN adalah akhbar arus perdana yang dikagumi kerana menjadi satu-satunya syarikat milik Bumiputera yang mampu bersaing dengan konglomerat tersenarai di Bursa Malaysia, Media Prima dan The Star.

 

Kekal berstatus syarikat pegangan persendirian dengan tampuk syarikat kini dikendalikan oleh Farah Hussamuddin iaitu anakanda pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

 

Farah kini merupakan Pengarah Eksekutif/Penerbit/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Divisi Media yang merangkumi Sinar Harian, Sinar Daily dan semua aset media milik Karangkraf.


 

parafrasa

 


Berikutan perletakan jawatan Rozaid Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarang Kumpulan pada akhir tahun 2022, Zamri Rambli mengambil alih jawatan tersebut mulai 1 Januari lalu.

 

Secara umumnya, perubahan pimpinan akhbar ini dilihat berjalan lancar dan meneruskan legasi ketua pengarang tersohor, Allahyarham Datuk Baharom Mahussin yang meninggal dunia pada November 2020.

 

Pemerhati media maklum Zamri merupakan anak didik Baharom, yang boleh memastikan kesinambungan kaedah, idea dan hala tuju yang disusun selama ini, diteruskan oleh generasi wartawan sedia ada di Sinar Harian.


 

parafrasa
Zamri Rambli (kanan sekali) bersama panel-panel acara Dialog Siswa anjuran Sinar.

 


Malah, sewaktu kebobrokan (rosak, hancur – Kamus DBP) menimpa Utusan Malaysia pada 2019 yang menyaksikan akhbar berusia 80 tahun itu gulung tikar, pembaca setianya diyakini beralih kepada Sinar Harian.

 

Meskipun rakan-rakan di Sinar Harian mengatakan tiada data analitik untuk mengesahkan perubahan pembaca Utusan kepada mereka, namun angka edaran akhbar tersebut ada menunjukkan peningkatan ketara selepas Utusan Malaysia dikuburkan oleh pengurusan UMMB.

 

Di tangan pimpinan generasi baru Sinar Harian sekarang, mereka mempamerkan kesungguhan untuk menepis tangan-tangan politik yang mahu menguasai atau mempengaruhi Jabatan Pengarang.

 

Ini antara pendirian jitu Datuk Hussamuddin semasa melantik Datuk Baharom sebagai ketua pengarang, yang kini diterjemahkan oleh Zamri dan pasukan editornya.

 

Bukan sesuatu yang mudah untuk menjadi kebal dan neutral daripada cubaan campur tangan, apatah lagi cubaan itu berbentuk halimunan dan terang-terangan dari peringkat ejen-ejen sehinggalah ke kuasa eksekutif di kedua-dua belah beranda Parlimen.

 

 

parafrasa
                       Allahyarham Datuk Baharom Mahussin

 


Gear Neutral

Ini kerana model media neutral tidak pernah wujud di Malaysia, hatta di dunia sekali pun. Bila Sinar Harian mahu menjelaskan pendirian sebagai media neutral, bukan kefahaman yang diterima tetapi cemuhan dan gertakan pula bertalu-talu melanda.

 

Masyarakat umum termasuk ejen-ejen politik diminta faham. Zaman ini, kesinambungan hidup sesebuah syarikat media bergantung kepada jualan pengiklanan.

 

Dan banyak sudah media termasuk portal, terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyumbang wang iklan. Sentimen dan pendirian politik individu, diketepikan kerana acapkali, parti yang disokong tidak semestinya menyumbang apa-apa.


 

parafrasa

 


Namun, sumbangan pembelian iklan tersebut tidak boleh diertikan pihak yang membeli itu berhak untuk mempengaruhi, mengeluarkan arahan atau campur tangan dalam hala tuju sesuatu Jabatan Pengarang.

 

Anda beli satu slot, pada satu harga yang dipersetujui, bayar dan siar. Itu sahaja. Jika kebetulan, ada pula parti lain membeli, mereka juga akan buat proses sama.

 

Tetapi tiada satu pihak pun boleh memberitahu media bahawa mereka membayar lebih mahal, maka itu media tidak boleh menerima pembelian iklan oleh parti lain, atau lebih teruk mengarahkan media `menulis negatif’ pihak lain kerana mereka sudah beli iklan.

 

Lainlah jika sesuatu media baik arus perdana mahupun portal berita digital itu sememangnya asal penubuhan dibiayai oleh pihak tertentu yang berkepentingan. Itu namanya hak pemilik untuk tentukan pendirian dan guna pakai pemberitaan.

 

Tragedi Utusan

Itulah contohnya Utusan Malaysia 2019. Akhbar ini sahamnya dikuasai oleh Umno. Jadi untuk membebel atau mencela Utusan sebagai `tidak bebas’ adalah sesuatu yang dangkal dan kurang pandai. Ini kerana Utusan adalah milik Umno, maka akhbar tersebut kena patuh kepada pemilik. Dan pemilik ini jugalah yang memutuskan ia digulung tikar pada 2019.


 

parafrasa
Bangunan gah Utusan kini dimiliki oleh taikun Tan Sri Dr Halim Mohamad dan kini dinamakan Halim Mazmin Place.

 


Akhbar Utusan yang wujud hari ini, adalah berdasarkan penjualan permit penerbitan akhbar kepada Media Prima. Bagi bekas wartawan Utusan, legasi asal kelahiran akhbar ini pada 1939 di Singapura telah mati pada 2019.

 

Manakala portal Utusantv.com yang memegang lesen penerbitan majalah, diperakui sebagai waris terakhir sebenar akhbar keramat tersebut.

 

Jadi jika ada pihak membandingkan Sinar Harian dengan Utusan daripada segi kebebasan akhbar, hujah ini kurang tepat.

 

Utusan diambil oleh UMNO pada 1961 yang menyaksikan tercetusnya peristiwa Mogok Utusan oleh wartawan yang menentang pengambilalihan parti tersebut. Ketiadaan kebebasan akhbar adalah kerana Utusan dikuasai parti politik.

 

Sinar Harian berhak untuk bebas, mesti bebas dan kelihatan bebas kerana pemilikannya adalah persendirian. Bukan parti politik. Malah, pengasasnya pun sentiasa cermat dalam penampilan dirinya daripada dilihat menyokong totok mana-mana parti.


 

karangkraf

 


Satu-satunya kemungkinan semua ini terbalik ialah tiada siapa membeli akhbar Sinar Harian lagi, mengakibatkan jualan iklan merudum dan kedudukan kewangannya tenat, maka keberadaan syarikat akan terancam.

 

Ketika itulah pilihan di atas meja akan terhad. Mungkin konglomerat Media Prima mahu ambil alih, mungkin The Star mahu serius dalam penawaran berita berbahasa Melayu dan mungkin parti politik dengan kantung duit yang besar.

 

Jadi bagi mengelak kemungkinan negatif seperti di atas, saya secara peribadi menyarankan kepada pembaca Merrepak agar sama-sama terus memberi sokongan kepada Sinar Harian, demi kebebasan media sebenar. - DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 31 tahun. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Freedom oleh WHAM berulang-ulang kali.
parafrasa