KUALA LUMPUR 26 Sept - Agensi pemudah cara kerajaan bagi sektor perniagaan perlu terus bersedia untuk membantu kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempertahankan pemulihan yang telah dicapai pada tempoh pasca-pandemik.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, agensi terbabit seperti Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), secara kolektif dapat membantu dalam memastikan PMKS Malaysia yang juga nadi ekonomi negara, untuk terus menyesuaikan diri serta maju dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.
Beliau menegaskan, ini penting memandangkan Malaysia dijangka berdepan banyak cabaran dalam suku keempat serta 2023 akibat faktor seperti perang di Ukraine yang berterusan, dasar sifar COVID-19 China, pendekatan bank pusat atau Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi serta gangguan rantaian bekalan.
“‘Walau apa cabaran sekali pun, seperti yang telah terbukti ketika zaman pandemik, Insya Allah kita akan dapat mencapai keberhasilan positif melalui usaha sama kita membantu sektor perniagaan untuk bertahan dan bangkit semula,’’ katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian kerjasama antara CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad dengan SJPP dan CGC, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran rasmi keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 5.3% dan 6.3% bagi tahun ini.
Katanya, kerajaan optimis prestasi ekonomi pada suku ketiga tahun ini akan terus kukuh berdasarkan petunjuk ekonomi semasa yang positif selepas prestasi memberangsangkan 8.9% pada suku kedua.
Mengenai Bajet 2023, beliau berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mencapai ketahanan serta daya saing yang tinggi melalui penerapan teknologi yang inovatif.
Pada masa sama, kerajaan akan turut menaik taraf pembangunan modal insan serta tenaga kerja PMKS negara ini, kata beliau.
“Dalam soal membina daya tahan ini, (aspek) automasi serta pendigitalan juga penting dan perkara ini pastinya akan terus diberi penekanan dalam Bajet 2023,’’ katanya. - DagangNews.com