Skip to main content

AKM Kedah dijangka pecah rekod kehadiran pengunjung tertinggi

KEMERIAHAN Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini di pekarangan Stadium Darul Aman, Kedah.
Oleh Mohamad Iman

ALOR SETAR 4 Sept. - Penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah yang berlangsung selama tiga hari di pekarangan Stadium Darul Aman dijangka memecah rekod kehadiran pengunjung tertinggi.

 

Mengikut rekod, AKM Sarawak sebelum ini mencatatkan kehadiran tertinggi bagi penganjuran siri jelajah berkenaan dengan jumlah seramai 98,000 pengunjung.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka Jabatan Penerangan Malaysia, Nor Azli Mohd Nor Azian berkata, AKM Kedah yang memasuki hari terakhir dijangka bakal memecahkan rekod berkenaan memandangkan telah mencatatkan jumlah kehadiran seramai 85,000 pengunjung setakat pukul 12 tengah hari.

 

“Kita jangkakan lebih ramai lagi pengunjung akan datang bagi melihat sendiri pengisian dan aktiviti menarik yang disediakan sepanjang AKM Kedah ini sekali gus memecahkan rekod sewaktu AKM Sarawak sebelum ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, Nor Azli berkata, penganjuran Pertandingan Bintang Patriotik yang dilaksanakan bersempena AKM Kedah kali ini turut memecahkan rekod penyertaan dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung yang hadir.

 

Nor Azli Mohd Nor Azian
Nor Azli Mohd Nor Azian

 

 

Menurutnya, seramai 42 peserta telah mendaftar bagi mengikuti pertandingan tersebut bersempena bulan kemerdekaan dan penganjuran AKM ini.

 

“Sewaktu AKM Sarawak dan Perak sebelum ini, kita mendapat penyertaan tertinggi bagi pertandingan ini melibatkan seramai 35 peserta sahaja.

 

“Untuk pusingan akhir Pertandingan Bintang Patriotik ini juga, dua juri akan mengadili para peserta terdiri daripada maestro muzik, Datuk Ramli MS dan penyanyi lagu tema Air Force The Movie, Azumi Shazani,” katanya.

 

AKM

 

AKM

 

AKM

 

 

Di samping itu, Nor Azli berkata, terdapat beberapa pengisian menarik lain disediakan pada hari terakhir AKM Kedah ini antaranya seperti sesi Meet And Greet bersama artis tanah air, Fikry Ibrahim.

 

Tambahnya, terdapat juga sesi DJ Corner di booth Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

 

“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi penganjuran hari terakhir AKM Kedah di samping mengikuti program menarik disediakan di sini,” katanya. - DagangNews.com