KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pemegang saham tunggal Alaska Mining Sdn. Bhd., Lee Hon Kit akan menjual 51% kepentingan bernilai A$5juta (RM15.2 juta) di bawah perjanjian jualan saham kepada Nanopac Alaska Sdn. Bhd. (NASB).
NASB adalah unit kepada Nanopac Innovation Limited, yang disenaraikan di National Stock Exchange of Australia yang berpangkalan di Sydney.
Hon Kit menyatakan kesediannya untuk bekerjasama dengan NASB dan Nanopac membangunkan perniagaan melombong dan pada masa sama memastikan terdapat aliran tetap silika bagi pengeluaran panel NanoSolar dan ilmenit bagi produk catnya.
Katanya, perolehan itu memberi kelebihan kepada Nanopac kerana ia memastikan aliran tetap bahan mentah bagi panel Nano-Solar dan produk sedia ada, yang sekiranya tidak, perlu diperoleh daripada pihak ketiga.
“Operasi perlombongan juga memberi sumber pendapatan berulang kepada Nanopac kerana silika dan ilmenit yang tidak diperlukannya akan dijual kepada pihak lain di samping memastikan operasi perlombongan kekal mapan secara komersial, berikutan perjanjian dagangan dengan kumpulan perniagaan China," katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara dasarnya, Nanopac terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pengedaran dan memberi perkhidmatan berkaitan bahan dan produk teknologi nano. Selain itu, ia merangkumi panel NanoSolar dan membekal bahan mentah kepada industri cat.
Di bawah perjanjian itu, penjualan 51% kepentingan di dalam Alaska Mining kepada NASB akan disempurnakan dengan penerbitan saham baru dalam Nanopac yang akan dibayar secara dua peringkat.
Peringkat pertama saham baharu yang berjumlah A$2.5 juta (RM7.7 juta) akan dibayar secara pendahuluan selepas perjanjian jualan saham manakala peringkat kedua saham baru berjumlah A$2.5 juta (RM7.7 juta) akan dibayar selepas syarikat mencapai untung bersih A$5 juta (RM15.2 juta).
Sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan saham, Hon Kit akan dilantik menjadi pengarah urusan Alaska Mining.
Alaska Mining telah diberi hak melombong pasir untuk diproses menjadi silika dan ilmenit, di mana sebuah kumpulan perniagaan China telah bersetuju untuk perjanjian dagangan berhubung sebahagian daripada ilmenit yang dihasilkan.
Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif NASB, Tobby Tan berbesar hati dengan mengalu-alukan kedatangan Hon Kit dalam keluarga Nanopac dan percaya dengan pengetahuan dan pengalamannya, dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan perlombongan.
"Perolehan kepentingan ini akan menambah kepada keupayaan pengeluaran kami dan adalah sesuatu yang positif kepada perkembangan perniagaan panel solar dan cat Nanopac," katanya. - DagangNews.com