Allianz - jenama insurans No.1 dunia | DagangNews Skip to main content

Allianz - jenama insurans No.1 dunia

 

 

MUNICH 21 Okt. – Allianz sekali lagi muncul sebagai jenama insurans terbaik di dunia selama dua tahun berturut-turut, demikian menurut Laporan Kedudukan Jenama Global Terbaik Interbrand.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz SE, Oliver Bäte, pengiktirafan Allianz sebagai jenama insurans global No. 1 dan tersenarai antara 40 Jenama Global Terbaik itu membuktikan syarikat berada dalam landasan yang betul.

 

“Pencapaian Allianz di waktu yang agak sukar ini amat membanggakan dan menunjukkan  jenama Allianz masih relevan di hati masyarakat,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Jenama dan Perkongsian Allianz SE, Christian Deuringer memberitahu, Allianz berhasrat mencapai kedudukan 25 jenama terbaik menjelang tahun 2025 nanti.

 

Allianz

 

“Dalam tempoh masa 10 tahun sahaja, Allianz telah berjaya melonjak kepada kedudukan ke-39 dengan nilai AS$13 bilion berbanding AS$4.9 bilion di kedudukan ke-67 pada tahun 2010,” kongsinya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, biarpun berdepan dengan krisis pandemik yang besar, nilai jenama Allianz telah meningkat sebanyak 7 peratus dengan nilai AS$12.935 bilion.

 

Bagi Allianz, pencapaian tersebut juga menjadi satu dorongan besar untuk terus memperkukuh jenama yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat.

 

“Sepanjang krisis pandemik Covid19, kami berusaha untuk mengotakan semua janji dan terus memberi yang terbaik untuk komuniti kami,” kata Pegawai Agihan, Pemasaran dan Strategi Berkumpulan Allianz SE, Serge Raffard.

 

Beliau menambah, Allianz akan terus cekal dan mengutamakan keperluan pelanggan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan seperti Doctor on Call atau Chat with Allianz Partners yang memberi impak besar sepanjang tempoh pandemik ini.

 

Setiap tahun, Interbrand menyiarkan senarai dan laporan 100 jenama terbaik di dunia.

 

Untuk senarai penuh 100 jenama terbaik dan laporan analisis dan trend dalam industri, sila layari www.interbrand.com/best-global-brands/.-  - DagangNews.com