KUALA LUMPUR 15 Nov - Bank Negara Malysia (BNM) mengumumkan liberalisasi dasar pertukaran asing (FEP) bagi bank pembangunan pelbagai hala (MDB) dan institusi kewangan pembangunan bukan pemastautin (DFI) yang berkelayakan.
Katanya, dasar tersebut akan memudahkan pelaburan DFI dalam bidang pertumbuhan utama di Malaysia, termasuk industri elektrik dan elektronik (E&E), penerimaan teknologi, kemampanan dan pusat data.
“MDB dan IKP bukan pemastautin yang layak kini boleh menerbitkan sekuriti hutang berdenominasi ringgit untuk kegunaan di Malaysia dan menyediakan pembiayaan ringgit kepada entiti pemastautin.
“Ini akan membolehkan kedua-dua pembiaya dan perniagaan menstrukturkan pembiayaan dalam ringgit untuk projek domestik sambil mengurangkan risiko ketidakpadanan mata wang,” katanya dalam atu kenyataan, hari ini.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, liberalisasi itu akan memudahkan penyertaan lebih besar daripada pelabur global dalam bidang pertumbuhan utama di Malaysia.
“Ini sejajar dengan permintaan dan minat yang lebih tinggi oleh institusi kewangan antarabangsa untuk membiayai projek pelaburan bernilai tinggi di Malaysia,” katanya.
MDB dan DFI bukan pemastautin yang layak boleh berkongsi kepakaran teknikal mereka, terutamanya dalam kewangan gabungan, yang akan melengkapkan pemain domestik sedia ada dalam memenuhi permintaan pembiayaan untuk menyokong pelaburan strategik dan usaha peralihan iklim di Malaysia.
Dengan memupuk persekitaran pelaburan yang lebih memudahkan, inisiatif liberalisasi juga boleh meningkatkan terbitan dan penyertaan daripada penerbit dan pelabur antarabangsa, yang akan memanfaatkan pasaran bon dan sukuk domestik dari segi kedalaman dan kerancakan yang lebih besar.
Sementara itu, BNM berkata, program perintis Pelabur Residen Berkelayakan (QRI) akan diperluaskan lagi untuk menerima permohonan daripada korporat pemastautin yang layak yang mempunyai aset pelaburan langsung di luar negara RM500 juta dan ke atas, dengan tarikh akhir pendaftaran dilanjutkan sehingga 30 Jun 2025.
“Ini berikutan maklum balas positif yang diterima mengenai program itu.
“Maklumat tambahan mengenai program ini seperti kriteria kelayakan, borang permohonan dan maklumat operasi lain boleh didapati di laman web BNM,” katanya.- DagangNews.com