ADAKAH MAHKAMAH SYARIAH MENERIMA DOKUMEN DIGITAL?
BEBERAPA hari lepas, ada rakan yang bertanya kepada saya sama ada Mahkamah Syariah menerima dokumen-dokumen perancangan harta yang dibuat secara digital ini terutamanya yang dibuat oleh Wasiyyah Shoppe Berhad.
Izinkan saya menceritakan perjalanan digitalisasi kami. Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami telah menyediakan dokumen perancangan harta seperti wasiat, hibah, harta sepencarian dan amanah secara fizikal dan manual sejak 2004.
Kesemua format ini dibangunkan oleh Panel Syariah kami yang sangat berpengalaman di dalam bidang fiqh mawarith. Merekalah yang memastikan dokumen-dokumen ini dibangunkan selaras hukum syarak dan undang-undang syariah di Malaysia.
Kami telah merancang untuk membantu masyarakat membuat dokumen perancangan harta secara digital semenjak 2019 lagi. Format-format yang diguna pakai di dalam sistem digital ini ialah format-format dokumen fizikal yang telah diluluskan oleh Panel Syariah kami.
Usaha pendigitalan ini kami lakukan susulan satu pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada 30 Disember 2018 yang menyatakan bahawa bahan-bahan bersifat eletronik dan digital boleh diterima sebagai bukti perbicaraan di Mahkamah Syariah.
Kami merasakan pekeliling ini merupakan satu peluang keemasan untuk kami menginovasi produk-produk kami kepada sistem digital.
Di dalam keadaan kami sedang mencari-cari model digital terbaik, pada tahun 2020 Malaysia dilanda pandemik COVID-19 dan pada 18 Mac 2020 pula, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Segala pergerakan dikekang termasuklah aktiviti penyediaan dokumen perancangan harta dan majlis akad hibah secara fizikal disekat.
Dalam masa yang sama, permintaan untuk merancang harta meningkat secara mendadak kerana masyarakat panik melihat kadar kematian yang melonjak naik akibat pandemik ini.
Saya dan pasukan pengurusan saya berhempas-pulas mencari idea bagaimana ingin membantu umat Islam membuat dan melaksanakan dokumen perancangan harta mereka dalam keadaan pergerakan fizikal dikekang.
Dengan bantuan pakar-pakar perundangan Syariah Malaysia serta Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad, kami akhirnya menemui kaedah hibah melalui sidang video dalam talian.
Alhamdulillah, usaha ini berjaya membantu ramai umat Islam mengatasi kekangan pergerakan fizikal kerana mereka boleh berakad hibah secara atas talian melalui aplikasi zoom walaupun berada di mana sahaja lokasi di seluruh dunia.
Walaupun isu kekangan pergerakan fizikal telah dapat diatasi, namun kami mendapati bahawa proses hibah melalui zoom ini memakan masa yang sangat lama sehingga beberapa jam untuk dilaksanakan.
Kecenderungan pemberi dan penerima hibah tersalah lafaz juga amat tinggi yang memaksa proses itu diulang semula.
Sekali lagi, saya dan pasukan pengurusan memerah kepala bagi mencari idea terbaik bagaimana proses hibah secara digital boleh dibuat.
Dengan bantuan pakar pembangunan sistem, Wasiyyah Shoppe Berhad akhirnya berjaya menemui kaedah hibah secara digital sepenuhnya dan sistem yang dinamakan UsraHDD ini akhirnya dilancarkan pada bulan Mac 2023 yang lepas selepas hampir setahun membangunkannya.
Berbeza dengan akad hibah secara zoom yang kami laksanakan ketika PKP yang lebih bersifat atas talian, UsraHDD adalah digital sepenuhnya.
Bermula dari sistem pesanan (order system), proses mengenal pasti identiti pemberi dan penerima hibah secara e-KYC sehinggalah akad hibah yang dibuat melalui telefon bimbit sahaja, semuanya dibuat melalui satu aplikasi khas yang kami bangunkan untuk tujuan ini.
Akad hibah dibuat secara masa sebenar (real time) di mana pemberi dan penerima hibah boleh berakad pada waktu yang sama walaupun di mana lokasi mereka berada di seluruh dunia.
Akad ini mempunyai stem masa yang mencatat secara tepat tarikh dan waktu akad disempurnakan. Stem masa ini tidak boleh diubah atau diceroboh sekaligus memastikan integriti akad hibah itu terjamin.
Selepas akad ini disempurnakan, ia disimpan di sistem awan dan boleh dicapai pada bila-bila masa oleh pemberi dan penerima hibah serta Mahkamah Syariah.
Sistem UsraHDD ini digital sepenuhnya dan TANPA KERTAS yang pertama di dunia. Ia tidak perlu dicetak, tidak perlu ditandatangani secara fizikal dan failnya tidak perlu disimpan secara fizikal.
Penyempurnaan akad hibah UsraHDD secara digital ini menyelesaikan banyak masalah yang selama ini dihadapi semua pihak. Kepada pelanggan, dia tidak perlu risau dokumennya hilang atau rosak kerana ia disimpan selamat di sistem awan yang boleh dicapainya pada bila-bila masa.
Kepada Mahkamah Syariah pula, ciri keselamatan sistem ini memberi jaminan bahawa integriti dokumen ini terpelihara dan boleh diharapkan sebagai bukti yang kukuh bagi mengesahkan kewujudan hibah dan keabsahannya.
Inilah pada saya elemen paling penting di dalam UsraHDD yang menjadikan ia unik. ‘Engagement’ yang telah kami lakukan hampir setahun lamanya bersama Mahkamah Syariah seluruh Malaysia ketika fasa pembangunan sistem ini telah membantu kami mendapat input terbaik selaras keperluan undang-undang Syariah di Malaysia.
Alhamdulillah UsraHDD berjaya kami bangunkan sebagai satu sistem yang canggih dan selamat serta akad hibah boleh dilaksanakan dengan pantas dan mudah.
Format dokumen di dalamnya pula patuh hukum syarak dan undang-undang Syariah di Malaysia. Sistem UsraHDD ini mula mendapat sambutan baik dari masyarakat.
Saya tidak menolak kemungkinan akan ada pihak-pihak lain juga yang akan memperkenalkan kaedah pewarisan digital kepada masyarakat selepas melihat inisiatif Wasiyyah Shoppe Berhad ini mendapat sambutan.
Saya menyambut baik situasi ini dan percaya bahawa masyarakat akan mendapat manfaat yang banyak darinya.
Walaupun begitu, tanpa mengira apa bentuk teknologi yang diguna pakai sama ada secara kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) seperti yang dibuat oleh Wasiyyah Shoppe Berhad atau sekadar secara dalam talian sahaja, perkara yang lebih penting ialah masyarakat perlu pastikan dokumen itu boleh diterima oleh Mahkamah Syariah sebagai bukti yang sah.
Pastikan juga organisasi-organisasi yang menyediakan perkhidmatan ini mempunyai pengalaman, rekod prestasi dan Panel Syariah yang diyakini kepakarannya di dalam bidang fiqh mawarith.
Teknologi itu penting namun ia bukanlah satu-satunya faktor yang akan menjamin dokumen digital atau dalam talian itu diterima oleh mahkamah syariah.
Pilihlah organisasi yang tepat apabila anda merancang harta secara digital. Renung-renungkan.