Kenyataan saya telah disalah guna dan diseleweng dari fakta sebenar! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 18 Oct 2023 07:00 AM
wasiyyah

KENYATAAN SAYA TELAH DISALAH GUNA DAN DISELEWENG DARI FAKTA SEBENAR !

 

 

 

SAYA terperanjat apabila diberitahu kawan-kawan tentang tularnya satu video tiktok yang mengaitkan nama saya. Tajuk video itu ialah “Kerajaan akan ambil alih harta pusaka bumiputera. Selepas ini bersedialah untuk merempat di tanahair sendiri.”

 

Video asal itu dibuat oleh Dagang News dengan mengambil cerapan dari artikel yang saya tulis di ruangan ini pada 13 September 2023. Di dalam artikel tersebut saya memberi cadangan supaya di dalam belanjawan 2024 Kerajaan melihat juga kepada insentif-insentif yang boleh diberikan bagi membantu harta pusaka diturunmilik dengan lebih cepat kepada waris-waris. Antara insentif yang saya cadangkan ialah pelepasan cukai.

 

Belanjawan 2024 telah pun diumumkan seperti yang diketahui umum. Kecuali bagi pengecualian duti ad valorem untuk pelepasan bahagian waris-waris lain mengikut kandungan wasiat, tiada apa-apa insentif lain yang berkaitan dengan harta pusaka.

 

Di dalam keserabutan dan dinamika ekonomi hari ini, mungkin Kerajaan terlepas pandang signifikan harta pusaka. Tidak mengapa, saya sudah pun mencuba dan akan terus mencuba tanpa jemu untuk memartabatkan industri perancangan harta pusaka ini. Perjuangan ini sudah pun saya lalui semenjak 25 tahun lepas dan saya tidak akan berhenti selagi ada nyawa di badan.

 

Kementerian Kewangan boleh sahaja memanggil saya pada bila-bila masa untuk berbincang apa idea terbaik berkaitan kemajuan harta pusaka. Sebagai rakyat yang sayangkan negaranya, saya akan mencuba sehabis daya untuk membantu.   

 

Di dalam penulisan saya tersebut, saya nyatakan dengan jelas bahawa harta pusaka tertunggak (belum diturun milik kepada waris yang berhak dan masih berdaftar di atas nama simati) yang bernilai RM70 bilion itu ialah salah satu sumber ekonomi ‘terpendam’ yang tidak dieksploit secara optimum di Malaysia.

 

Dalam keadaan ekonomi serba mencabar dan negara berada dalam keadaan belanjawan defisit (perbelanjaan lebih banyak dari pendapatan), harta pusaka boleh digembleng sebagai alternatif sumber ekonomi yang baik jika ia dapat disuntik semula ke dalam ekonomi.  

 

Kerajaan tidak perlu bersusah-payah menyediakan peruntukan yang banyak kepada masyarakat kerana harta pusaka itu boleh digunakan sebagai modal oleh waris untuk berniaga atau apa-apa projek ekonomi yang berkenaan.

 

Oleh itu cadangan saya ialah Kerajaan boleh melihat kepada bagaimana mengurangkan ‘barrier’ atau sekatan atau melihat kepada memberi insentif tertentu supaya waris boleh menerima harta pusaka ini dengan cepat. Ia akan menguntungkan semua pihak.

 

Video yang dibuat oleh Dagang News itu betul dan tepat mengikut konteks artikel saya. Tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab telah menambahkan tajuk yang menyeleweng daripada kandungan asal. Ia memberi gambaran salah seolah-olah  saya memberitahu masyarakat bahawa Kerajaan akan mengambil alih harta pusaka bumiputera.

 

 

anekdot mawarith
Muka depan video TikTok telah disalin semula (screenshot) dan ditambah dengan tajuk provokatif

 

 

Video ini tular sehinggakan Kementerian Kewangan sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan tiada niat untuk mengambil alih harta pusaka rakyat. Malah kenyataan rasmi itu juga menyatakan dengan jelas bahawa tajuk video itu tiada kena mengena dengan kandungannya.

 

Saya mengutuk sekeras-kerasnya penyelewengan fakta dan salah guna ini. Jelas video ini telah  memburuk-burukkan imej saya dan Wasiyyah Shoppe Berhad serta berbau politik kepartian yang melampau. Siasatan sedang dibuat dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak berkenaan.

 

Kalau pun ingin berpolitik janganlah menjadikan pihak lain sebagai mangsa fitnah. Berpolitiklah dengan matang dan bertanggungjawab. Fikiran dangkal pembuat video ini ialah dengan membuat fitnah ini sokongan politik terhadap parti yang disokongnya akan bertambah.

 

Tambah memburukkan keadaan apabila video tular yang mencecah sehingga setengah juta ‘viewing’ itu dilihat pada tajuknya sahaja tanpa melihat kandungannya. Akibatnya banyaklah komen-komen yang  mengiya atau mengapi-apikan lagi keadaan.  

 

 

mof

 

 

Saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya hanya memberi cadangan untuk kebaikan masyarakat dan negara. Namun perbuatan seperti ini sangat tidak bertanggungjawab. Kepada pihak berkenaan, ketahuilah bahawa sokongan kepada parti anda TIDAK AKAN BERTAMBAH dengan perbuatan seperti ini. Bagi rakyat biasa yang tiada kecenderungan kepartian seperti saya, tindakan kurang cerdik ini hanya akan menjauhkan kami dari parti sokongan anda. Beretika dan profesionallah.

 

Inilah akibatnya apabila kita sibuk berpolitik 24 jam, 7 hari seminggu, 365 hari setahun. Kita tidak akan ada masa untuk berfikir tentang kebaikan negara jauh sekali menyumbang ke arahnya. Fikiran kita dihantui dengan warna politik semata-mata. Dalam keadaan dunia yang sangat mencabar ini, pemikiran sebegini hanya akan menyebabkan Malaysia semakin ketinggalan.

 

Para pembaca sekelian, saya tekankan sekali lagi bahawa saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya hanya seorang rakyat Malaysia yang sayangkan negaranya. Saya mahu kita tinggalkan negara ini dalam keadaan makmur dan sejahtera kepada anak cucu kita kerana itulah Legasi kita.

 

Pada waktu sosio ekonomi dunia yang sangat mencabar hari ini, marilah kita bersama-sama menggembeling akal dan tenaga kita untuk kemajuan negara. Buat apa sahaja di dalam kemampuan dan kemahiran kita untuk membantu membina negara yang lebih baik.

 

Tanggalkan kaca mata politik dan pakailah kaca mata rasional. Kalaupun kita tidak boleh menyumbang, sekurang-kurangnya janganlah kita memusnahkan. Membina negara memakan masa puluhan tahun namun memusnahkan hanya boleh dibuat dalam sekelip mata.

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & Presiden Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

dagangnews