MALAYSIA SEBENARNYA SEDANG MENJUARAI PERANCANGAN HARTA SYARIAH DI DUNIA
WASIYYAH Shoppe Berhad melalui subsidiarinya Wasiyyah Family Office mulai secara agresif meneroka pasaran antarabangsa semenjak September 2021 yang lepas.
Cetusan idea untuk ke peringkat antarabangsa ini sebenarnya telah bermula pada 2018 apabila saya berkunjung ke London.
Semenjak itu kami telah melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama 2 tahun dan akhirnya cadangan ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Wasiyyah Shoppe Berhad pada 2021.
Ada kawan-kawan yang bertanya adakah hasrat kami nak ke peringkat antarabangsa ini didorong oleh motif untuk mendapat lebih banyak keuntungan? Adakah pasaran Malaysia sudah tepu sehingga kami terpaksa menukar fokus kepada pasaran antarabangsa? Adakah rakyat Malaysia tidak lagi menjadi prioriti kami?
Jawapan kepada semua soalan ini ialah ‘TIDAK’!
Wasiyyah Shoppe Berhad ingin berkembang ke peringkat antarabangsa bukanlah didorong oleh motif keuntungan semata-mata tetapi sebaliknya lebih kepada semangat kami ingin membantu umat Islam seluruh dunia merancang harta mengikut kaedah syariah.
Wasiyyah Shoppe Berhad ingin menunjukkan kepada dunia bahawa kaedah perancangan harta secara syariah adalah yang paling terbaik untuk umat Islam sejagat.
Kami memiliki formula itu dan kami ingin kongsikan kebaikan itu kepada umat Islam sejagat.
Meneroka pasaran antarabangsa tidak bermakna kami tidak lagi memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan kami.
Penambahbaikan perkhidmatan dan pengenalan perkhidmatan baru patuh Syariah tetap berjalan dengan rancak di Wasiyyah Shoppe Berhad Malaysia.
Kami tidak memfokus kepada keuntungan semata-mata bila mengorak langkah ini. Jika kami memikirkan keuntungan lebih baik kami duduk diam-diam kekal menjadi jaguh kampung di pasaran tempatan.
Pasaran Malaysia telah kami bina dengan susah-payah selama 17 tahun. Pasaran yang mulai menerima bentuk perkhidmatan yang kami perkenalkan sehingga menjadikan Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia.
Tiada keperluan sebenarnya untuk kami berdepan risiko besar meneroka pasaran antarabangsa yang serba tidak menentu dan belum tentu hasilnya.
Strategi ini ibarat dari berkolek di sungai yang tenang arusnya, kini berlayar di lautan lepas dengan ombak mengganas.
Untuk mencapai matlamat ini, setiap hari saya bermesyuarat dengan pelbagai pihak antarabangsa. Perbezaan jurang masa yang besar memang menjadi cabaran tetapi saya percaya alah bisa tegal biasa.
Bagi mendapatkan strategi yang tepat, saya dan pasukan saya perlu memahami bukan sahaja kerangka undang-undang malah budaya negara berkenaan.
Apa yang bakal diperkenalkan Wasiyyah Family Office di negara berkenaan adalah perkhidmatan unik yang patuh Syariah tetapi selari dengan undang-undang mereka.
Pastinya formula perkhidmatan yang bakal diperkenalkan itu tidak mudah untuk dibangunkan kerana ia unik dan berbeza dari apa yang diamalkan di Malaysia.
Namun saya yakin dan percaya Islam ada penyelesaian untuk semua perkara.
Ramai juga kawan yang bertanya bolehkah penyelesaian perancangan harta secara syariah yang dibangunkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad mengikut acuan undang-undang Malaysia diperkenalkan di negara luar?
Adakah masyarakat di negara berkenaan akan menerima acuan ini? Bagaimana pula dengan kekangan undang-undang? Perlukah kita faham kerangka undang-undang negara berkenaan? Berbaloi ke nak kembangkan perniagaan ini ke negara luar?
Ini semua adalah soalan-soalan yang ‘valid’ tetapi skeptik dari rakyat Malaysia sendiri.
Dari perbincangan saya dengan pihak-pihak negara luar ini, mereka sebenarnya sangat menghargai apa yang telah dicapai oleh Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 17 tahun beroperasi.
Mereka kagum bila saya ceritakan bagaimana Wasiyyah Shoppe Berhad membantu umat Islam Malaysia melalui perkhidmatan inovatif yang patuh syariah seperti hibah harta yang masih bercagar.
Mereka sebenarnya ingin belajar, berkongsi pengalaman dan pengetahuan kita. Masya Allah.
Saya turut diberitahu bahawa isu harta pusaka juga semakin kritikal di negara mereka. Di mana mereka berada sekarang adalah di mana Malaysia berada 17 tahun lepas! Perbalahan di antara waris, proses perundangan yang lambat dan kos yang mahal adalah persamaan masalah pusaka mereka dengan Malaysia.
Mereka terperanjat apabila saya ceritakan bahawa kebanyakan sumber ilmu berkaitan fiqh mawarith yang kami gunakan untuk membangunkan perkhidmatan inovatif Wasiyyah Shoppe Berhad sebenarnya banyak kami peroleh dari negara-negara mereka apabila kami mengadakan penyelidikan ilmiah dengan kerjasama universiti tempatan.
Walaupun ilmu itu banyaknya datang dari negara mereka namun dari sudut aplikasi ilmu, Malaysia kelihatannya jauh meninggalkan negara-negara tersebut.
Perkembangan undang-undang Malaysia yang rancak juga menyokong pertumbuhan industri ini.
Hanya apabila kita keluar meneroka pasaran antarabangsa barulah kita menyedari dan bersyukur betapa bertuahnya kita di Malaysia ini.
Saya juga boleh rumuskan dari perbincangan kami bahawa tahap kefahaman mengenai kepentingan perancangan harta secara Syariah dalam kalangan rakyat Malaysia adalah jauh lebih baik dari negara tersebut.
Semua dapatan ini menguatkan lagi semangat kami untuk membantu mereka memahami ilmu perancangan harta secara Syariah dengan lebih baik dan mengaplikasi perkhidmatan perancangan harta secara Syariah.
Sebagai pelopor industri di Malaysia semenjak 17 tahun lepas, saya tahu bahawa cabaran ini bukan mudah.
Saya menjangkakan apa yang bakal kami lalui di pasaran antarabangsa ini adalah sama seperti apa yang telah kami lalui di Malaysia semenjak 2004.
Akan ada pihak yang skeptik, yang mengutuk, yang merendah-rendahkan. Namun kami terus berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan.
Kami tahu ini satu larian marathon panjang yang memerlukan stamina yang banyak dan bukan larian pecut 100m.
Apa yang penting ialah nawaitu kita melakukan kerja ini kerana Allah SWT, ia patuh Syariah serta mengikut peruntukan tadbir urus korporat yang dibenarkan. Malaysia sebenarnya sudah pun menjuarai bidang ini di peringkat dunia.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH TULISAN TN HJ ARIFFIN SABIRIN