Pengalaman digital Wasiyyah Shoppe; Tidak mudah tetapi berjaya direalisasikan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 3 April 2024

PENGALAMAN DIGITAL WASIYYAH SHOPPE BERHAD; TIDAK MUDAH TETAPI BERJAYA DIREALISASIKAN

 

 

 

SAYA agak sentimental minggu ini. Di dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini saya menerima berita bahawa dokumen hibah digital (tanpa kertas) kami yang dibuat oleh pelanggan melalui aplikasi mudah alih UsraHDD , telah pun disahkan sebagai sah oleh Mahkamah Syariah Johor.

 

Pelanggan ini telah menggunakan aplikasi mudah alih UsraHDD Wasiyyah Shoppe Berhad untuk  menghibahkan rumahnya kepada salah seorang anak.

 

Permohonan pengesahan hibah telah kami kemukakan kepada Mahkamah Syariah Johor berdasarkan kepada ijab qabul yang dibuat melalui sistem ini dan Mahkamah telah memutuskan bahawa hibah itu sah walaupun ia hanya dilakukan melalui telefon bimbit !  

 

Saya menghela nafas panjang-panjang, sujud syukur dan merasa sangat kerdil di hadapan Allah SWT.

 

BACA: Mahkamah Syariah Johor iktiraf hibah digital Wasiyyah Shoppe

 

Pencapaian ini walaupun mungkin kecil di mata sesetengah pihak tetapi saya rasa sangat puas dengan perasaan ‘self-fulfillment’ yang maksimum kerana saya tahu ia adalah ‘landmark case’ yang bakal mengubah lanskap industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sudah pun mencatat pelbagai pencapaian sebagai ‘yang pertama’ di Malaysia sebelum ini.

 

Kami organisasi pertama yang memperkenalkan kaedah hibah secara sistematik pada tahun 2004 dan mendapat perintah pengesahan hibah pertama daripada Mahkamah Syariah Alor Setar pada tahun 2005 yang mengesahkan bahawa hibah yang kami lakukan adalah sah mengikut hukum Syarak dan berkuatkuasa.

 

Kami juga memperkenalkan kaedah hibah untuk harta yang bercagar pada tahun 2017.

 

Sebaik pengenalan produk hibah ini kami telah dihentam dengan dahsyatnya oleh industri kerana pengetahuan umum industri ialah harta yang masih dalam cagaran bank tidak boleh dihibahkan.

 

Namun kami tetap tegar bekerja kerana hasil penyelidikan ilmiah kami membawa kepada dapatan bahawa ia boleh dilakukan dan sah dari sudut hukum Syarak tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

 

Bergerak ke hadapan, hari ini hibah untuk harta bercagar ini telahpun difatwakan sebagai sah oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta terdapat beberapa pandangan Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri juga yang selari dengan pandangan kami.

 

Saya merasa puas kerana tahu hasil kerja keras kami membawa kepada keadaan ini.

 

Perintah pengesahan hibah untuk dokumen hibah digital kami ini membuktikan bahawa Mahkamah Syariah terbuka di dalam menerima dokumen digital sebagai bukti yang kuat tentang kewujudan dan keabsahan hibah.

 

Kesan kepada perintah ini ialah masyarakat tidak perlu lagi bergantung kepada dokumen kertas bagi membuat hibah. Mereka hanya perlu berakad hibah melalui UsraHDD Wasiyyah Shoppe Berhad. Dokumen digital ini akan disimpan di sistem awan yang sudah terbukti keselamatannya.

 

 

wainuiomata

 

 

Masyarakat juga  tidak perlu lagi bersusah-payah menyimpan dokumen hibah di rumah mereka selepas selesai ia ditandatangani.

 

Kita tahu penyimpanan dokumen kertas ini di rumah terdedah kepada pelbagai risiko seperti kebakaran, banjir, rosak dimakan lipas, diubah (tampered) dan pelbagai risiko yang lain.

 

Kepada Mahkamah Syariah pula aplikasi dokumen digital ini akan mengelakkan Mahkamah daripada bebanan menyimpan rekod kes secara berkertas.

 

Polisi arkib menetapkan bahawa semua fail-fail kertas yang berkaitan kes mesti disimpan oleh Mahkamah sehingga tempoh 7 tahun sebelum dilupuskan. Ini menimbulkan pula masalah logistik dan kos kepada Mahkamah.

 

Jika ada isu timbul berkaitan kes-kes ini selepas 7 tahun, rujukan pasti akan sukar dibuat kerana fail kertas itu telah dilupuskan.

 

Semua cabaran di atas tidak timbul bagi dokumen hibah digital UsraHDD Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Fail di sistem awan itu akan sentiasa wujud dan boleh dicapai pada bila-bila masa. Dengan keberadaan dan keselamatan dokumen sehingga ke tahap 99.99999999%, ia sangat memudahkan untuk masyarakat dan sistem kehakiman di Malaysia.     

 

Masih terbayang di mata cabaran yang kami perlu lalui bagi membangunkan sistem UsraHDD ini. Kami bermula dengan kajian mendalam mengenai penerimaan dokumen digital sebagai bukti di Mahkamah Syariah.

 

Pelbagai muzakarah, mesyuarat, bengkel kami anjurkan bagi mendapat pandangan pakar-pakar perundangan Syariah dan Sivil serta pakar teknologi maklumat.

 

Kami bukan sahaja perlu memastikan sistem yang kami bangunkan ini patuh hukum Syarak dan undang-undang Sivil berkenaan, malah ciri-ciri keselamatan dan penggunaan untuk pelanggan yang ‘seamless’ juga menjadi penekanan.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Tambah mencabar ialah kerana sistem akad hibah melalui aplikasi mudah alih ini tidak pernah dibangunkan oleh mana-mana pihak di dalam dunia.

 

Jadi kami mencipta sesuatu yang baru  daripada ‘0’. Alhamdulillah saya direzekikan bertemu dengan pasukan pengurusan muda yang dinamik dan bersemangat.

 

Kami sangat jelas dan faham bahawa apa yang kami buat ini bukanlah satu bisnes semata-mata malah lebih besar daripada itu, kami faham bahawa ia adalah sumbangan kami kepada masyarakat yang akan kekal signifikan dan tercatat dalam lipatan sejarah.

 

Memang tidak mudah usaha ini. Selepas hampir 2 tahun bertungkus-lumus, sistem ini berjaya dibangunkan. Kami tidak berhenti di situ malah mengembara pula ke seluruh Malaysia bagi mendapatkan ‘buy-in’ daripada mahkamah-mahkamah Syariah seluruh negeri.

 

Ada yang bertanya kenapa pula perlu untuk kesemua mahkamah Syariah negeri? Jawapannya ialah kerana pengesahan hibah adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri dan setiap negeri itu mempunyai kuasa yang tersendiri.

 

Bayangkan masa dan tenaga yang telah kami curahkan bagi memastikan UsraHDD ini benar-benar berkuatkuasa dan patuh segala peruntukan undang-undang berkaitan.

 

Selepas melalui pelbagai fasa dan pengalaman, UsraHDD ini berjaya kami lancarkan pada bulan Mac 2023. Walaupun telah beroperasi, usaha penambahbaikan sistem ini terus berjalan sehingga ke hari ini.  

 

Pada peringkat awal, memang sambutan masyarakat agak dingin kerana mereka masih tidak faham kebaikan sistem ini berbanding dengan cara tradisional menandatangani dokumen kertas.

 

Namun kami tetap istiqomah mendidik dan perlahan-lahan ia mulai mendapat sambutan.

 

 


 

Perintah pengesahan hibah pertama yang kami perolehi daripada Mahkamah Syariah Johor ini merupakan satu titik tolak kepada inovasi teknologi yang lebih baik lagi yang akan kami terokai pada masa hadapan.

 

Saya sudahpun ada ‘blue-print’ jelas bagaimana sistem ini akan ditambahbaik lagi pada masa hadapan dan bagaimana ia dapat memberi impak yang signifikan kepada umat Islam.

 

Semoga Allah permudahkan perjalanan ini dan temukan saya dengan orang-orang yang baik-baik.

 

Ramadhan tahun ini benar-benar satu keberkatan luar biasa untuk saya. Syukur Alhamdulillah.

 

Allah SWT beri kekuatan kepada saya dan pasukan Wasiyyah Shoppe Berhad untuk terus bekerja keras menginovasi industri perancangan harta secara Syariah bagi kemaslahatan ummah.

 

Perjalanan digitalisasi ini memang tidak mudah namun ia kini sudah  mula menjadi realiti. Alhamdulillah.

 

 

ariffin sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

dagangnews

  

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH 

  

Portfolio Tags