Skip to main content

APEC 2020: Penyelesaian mampan dan jangka panjang tangani impak COVID-19

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 (APEC 2020) memerlukan visi dan penyelesaian yang mampan dan jangka panjang untuk menangani impak dan cabaran COVID-19.

 

Tidak sekadar itu, penyelesaian berkenaan juga penting bagi mendepani kemungkinan luar jangka lain pada masa hadapan yang boleh menjejaskan negara serantau di peringat global.

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, negara ekonomi APEC juga telah membincangkan berkaitan aspirasi APEC untuk hari ini dan masa hadapan.

 

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

 

"Meskipun ia mengambil pertimbangan cabaran global ketika ini, ia juga merupakan dokumen yang progresif dan hebat yang akan memacu pemulihan ekonomi, merangsang pertumbuhan di rantau ini dan membawakan kemakmuran untuk dikongsi bersama dalam kalangan penduduk Asia Pasifik.

 

"Ia juga memberi prospek yang baik dengan wacana mengenai kerangka ekonomi global baharu yang melihat kemajuan ekonomi bukan hanya dari segi keluaran dalam negara kasar atau perangkaan semata-mata, tetapi juga menimbang aspek-aspek manusia yang perlu seperti kesejahteraan dan kehidupan standard sebagai penanda pertumbuhan ekonomi. 

 

Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM)
Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM)

 

"Perbincangan dalam kalangan ahli ekonomi mengenai visi APEC baharu sedang berlangsung, dan saya perlu katakan bahawa saya mendapat semangat dengan kemajuan perbincangan yang sangat positif," katanya dalam sidang media maya selepas mesyuarat bersama menteri-menteri APEC malam tadi, lapor BERNAMA.

 

Malaysia mencipta sejarah apabila julung kalinya menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) secara maya, sebagai tuan rumah bagi persidangan tahun 2020. 

 

Mempengerusikan AMM itu, Mohamed Azmin berkata, penganjuran APEC 2020 ketika penularan COVID-19 merupakan satu pengalaman menakjubkan buat kesemua 21 ekonomi anggota. 

 

Pada mesyuarat berkenaan juga, ekonomi anggota APEC 2020 dijangka menambahbaik naratif perdagangan dan pelaburan, ini termasuk keutamaan-keutamaan pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19. 

 

Baca: Mohamed Azmin pengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC 2020 maya pertama

 

Mengulas lanjut, beliau menambah, perbincangan dalam kalangan ahli ekonomi mengenai deklarasi pemimpin masih berjalan dan gembira dengan kemajuan yang sangat positif.

 

“Deklarasi Pemimpin adalah pernyataan konsensus yang mengambil kira pandangan dan kemampuan pelaksanaan semua ekonomi, justeru, kami menjangka pelaksanaan langkah yang boleh diambil tindakan dalam deklarasi dapat dilaksanakan dengan lancar.

 

APEC 2020

 

“Seperti yang anda ketahui, sudah dua tahun sejak terakhir kita mengeluarkan Deklarasi Pemimpin yang merangkumi konsensus kita. Pada pandangan saya, ini akan mendorong kita untuk mencapai kata sepakat dan mengeluarkan Deklarasi Pemimpin pada tahun ini.

 

“Ini adalah janji pemimpin kita untuk meningkatkan usaha ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan terutamanya pada masa ini dalam menangani impak sosio-ekonomi yang telah memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat," jelas beliau lagi.

 

APEC 2020

 

Malasyia juga menggesa deklarasi mengenai memudahcarakan pergerakan barangan keperluan dalam APEC.

 

Deklarasi berkenaan adalah untuk memastikan barangan keperluan dapat bergerak merentas sempadan tanpa tertakluk kepada langkah perdagangan yang tidak adil selain mempercepatkan pemulihan ekonomi di rantau APEC. 

 

Selain itu, ia juga akan terus menambah baik persekitaran aliran dan aktiviti perdagangan dan pelaburan yang lebih kondusif dalam kalangan ekonomi APEC dengan memastikan sistem perdagangan  yang terbuka, rancak, telus dan mampan.

 

"Kami juga menggesa agar penekanan khusus diberikan kepada pertumbuhan ekonomi inklusif yang menghasilkan manfaat ketara kepada rakyat dan perniagaan, terutamanya kepada golongan paling terjejas akibat pandemik ini, termasuk wanita, belia dan golongan yang dipinggirkan," tambah beliau lagi. - DagangNews.com