1,000 hadir sambutan Malam Muhibbah sempena ulang tahun ke-9 VERVE Shops | DagangNews Skip to main content

1,000 hadir sambutan Malam Muhibbah sempena ulang tahun ke-9 VERVE Shops

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Seramai 1,000 orang sekitar Bukit Kiara di sini berkumpul bagi meraikan sambutan istimewa 9-9-9 dan memeriahkan acara Malam Muhibbah sempena ulang tahun yang ke-9 pusat beli-belah gaya hidup kejiranan, VERVE Shops, baru-baru ini.

 

Penduduk dari lebih 20 kondominium hadir menyaksikan persembahan kebudayaan, ceramah kesihatan dan pertandingan pakaian antarabangsa di VERVE Shops, yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Bukit Kiara Holdings, Datuk NK Tong berkata, memandangkan 9 September adalah tarikh di antara Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, inisiatif bertemakan muhibbah adalah sangat sesuai. 

 

Selain itu katanya, pusat membeli-belah ini juga bersemangat untuk memainkan peranannya dalam membantu masyarakat sekitar untuk lebih mengenali satu sama lain. 

 

"Dengan kerajaan yang baharu, datanglah harapan yang baru bagi rakyat. Salah satu tonggak utama konsep Madani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penekanan terhadap masyarakat. 

 

"Kami di VERVE Shops dengan sepenuh hati menyokong fokus kerajaan, dan sambutan ini adalah sumbangan kami untuk menyatukan masyarakat di sekitar kawasan kejiranan kami," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Tong berkata, beliau gembira kerana VERVE Shops telah memainkan peranannya sebagai pusat beli-belah gaya hidup kejiranan yang menyatukan pelbagai masyarakat sekitar Bukit Kiara sepanjang sembilan tahun lalu.

 

 

verve

 

 

"Perjalanan VERVE Shops dipenuhi dengan keazaman. Ia merupakan kisah tentang kemajuan, kejayaan, komitmen, ketabahan, dan semangat untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap konsep gaya hidup. Ia baru berusia sembilan tahun, dan kami baru sahaja bermula," katanya.

 

Sementara itu, Yeoh yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut berkata, semangat muhibbah perlu menjadi sebahagian penting dalam masyarakat Malaysia.

 

 

verve

 

 

"Muhibbah mencerminkan masyarakat yang bersatu padu. Kita harus terus memupuk dan membina masyarakat Malaysia yang erat melalui penganjuran lebih banyak acara seperti ini.

 

"Saya menghargai inisiatif VERVE Shops ini dalam memperkukuhkan ikatan kemasyarakatan dan semangat perpaduan kebangsaan menjelang sambutan Hari Malaysia," katanya. - DagangNews.com