KUALA TERENGGANU 21 Feb - Seramai 100,000 pengunjung dijangka hadir di Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 yang akan berlangsung di Padang Astaka, daerah Kemaman bermula Khamis hingga Ahad ini.
KBTM adalah satu platform untuk memberi peluang kepada pemain industri mempromosikan pelbagai pakej menarik kepada pengunjung yang hadir.
Lebih 30 aktiviti menarik disediakan sepanjang KBTM itu berlangsung termasuk jualan pakej percutian dan pelancongan pada kadar harga yang sangat berpatutan.
Sebanyak 21 hotel dan agensi pelancongan mengambil bahagian bagi mempromosi dan memasarkan produk, pakej dan perkhidmatan mereka.
Antaranya Mimpi Long Beach Perhentian ada menawarkan harga yang istimewa iaitu potongan harga hingga 50 peratus.
Paya Bunga Hotel pula menawarkan harga RM175 untuk satu malam, Dungun Escapade Resort- RM70 (hari biasa)/RM80 (hari minggu) untuk satu malam dan puluhan pakej menarik turut ditawarkan oleh Resort World Kijal di Kemaman.
Taman Tamadun Islam turut menawarkan pakej tiga hari dua malam ke Pulau Redang dengan harga RM360, pakej menginap di Villa Kristal dengan kadar harga serendah RM198 dan Jom Kenali TTI dengan bayaran tiket RM16 sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, KBTM adalah antara 17 acara ikonik daripada 100 aktiviti yang dirancang dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu pada tahun ini.
"Kita bawakan juga produk-produk pelancongan seperti bas kayu (BAS Kite) dan beca berhias, malah pengunjung berpeluang menggunakan perkhidmatan itu secara percuma.
"Pemberian lemang Kijal yang terkenal dengan keenakannya juga akan dilakukan secara percuma pada hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang di tapak karnival.
"Mereka yang membuat tempahan pakej pelancongan di tapak karnival berpeluang mendapatkan tiket cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah yang ditawarkan kepada pihak penganjur," katanya pada sidang media bersama Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria di sini hari ini.
Pada tahun ini, Terengganu menyasarkan kedatangan tiga juta pelancong untuk menikmati percutian ke negeri itu. - DagangNews.com