PUTRAJAYA 19 Jun - Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI untuk pemilik kenderaan diesel individu (BUDI Individu) serta petani dan pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi), setakat hari ini.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata “Matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.
“Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.
“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel bulan Jun. Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai BUDI MADANI bermula pada bulan permohonan dibuat.”
Seramai 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun, diikuti oleh 46,000 pemohon yang menerima bayaran pada hari ini, 19 Jun 2024.
Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai 2024.
Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional.
Inisiatif BUDI MADANI yang dibuka sejak 28 Mei 2024 adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori BUDI Individu; dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori BUDI Agri-Komoditi.
Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu.
Manakala seramai hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.
Rayuan permohonan Bagi pemohon individu yang gagal, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman web BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my.
Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu.
Selepas itu, mereka digalakkan mengemukakan permohonan BUDI MADANI (sekiranya belum memohon) atau mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI.
Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e mel di budimadani@treasury.gov.my
Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com