102 penduduk di daerah Taiping dipindahkan ke pusat pemindahan banjir | DagangNews Skip to main content

102 penduduk di daerah Taiping dipindahkan ke pusat pemindahan banjir


TAIPING 19 Ogos - Seramai 102 penduduk daripada 29 keluarga membabitkan lima kampung di sekitar Taiping, dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan berterusan sehingga menyebabkan kediaman mereka dinaiki air sejak malam tadi.

 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan setakat  7.30 pagi ini,  87 mangsa dari Kampung Sg Rentaka, Matang; Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Baraqah. 

 

Seramai 15 mangsa dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi pula ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Sg Baru, menurut laporan Bernama

 

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Perak membabitkan Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

 

 

taiping

 

 

Sementara itu, - Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada iaitu hujan lebat dijangka berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Perak hari ini hingga Jumaat.

 

Ketua Pengarah Met Malaysia Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 11 malam tadi memaklumkan kawasan terlibat di Kedah adalah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

 

 

taiping

 

 

Perak pula membabitkan Kerian, Larut, Matang, dan Selama serta Manjung, sementara seluruh kawasan Pulau Pinang terlibat dengan amaran tersebut.

 

"Angin bertiup dari arah barat laut dijangka berpotensi membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit," katanya. - DagangNews.com