11 kes positif COVID-19 di Parlimen semalam | DagangNews Skip to main content

11 kes positif COVID-19 di Parlimen semalam

Parlimen. Kredit gambar Harian Metro

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Sebanyak 11 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen semalam.

 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 10 kes daripada jumlah tersebut dikesan melalui RTK Ag saliva test kit dan satu daripadanya dikesan melalui RT PCR.

 

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen. 

 

Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 Julai sehingga 28 Julai 2021 dan dilaporkan positif setelah melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan.

 

Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva kerana mangsa mengalami gejala batuk.

 

Noor Hisham memberitahu, kedua-dua kes tersebut tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

 

Kedua-dua kes berkenaan juga negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

 

Dalam pada itu, sehingga jam 8.00 malam 29 Julai 2021, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

 

Daripada jumlah yang disaring itu, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif COVID-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (satu kes tengah hari, sembilan kes petang). 

 

"Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan lapan kes tidak bergejala. 

 

"Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan COVID-19 tersebut.

 

"Berikutan pengesanan kes-kes positif COVID-19 tersebut, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen," katanya.

 

Dalam kenyataan sama, beliau turut menasihatkan individu yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu. 

 

Jelasnya, mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. 

 

Pihaknya juga akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan. - DagangNews.com