119 calon dapat tawaran kerja terus di Ekspo Kerjaya MYFutureJobs | DagangNews Skip to main content

119 calon dapat tawaran kerja terus di Ekspo Kerjaya MYFutureJobs

PUTRAJAYA 14 Sept – Seramai 119 calon berjaya mendapat tawaran pekerjaan secara terus pada Ekspo Kerjaya MYFutureJobs minggu lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanam.

 

Beliau berkata, ekspo selama tiga hari yang diadakan secara maya dari 7 hingga 9 September minggu lalu itu, menerima sebanyak 14,888 pendaftaran dengan lebih 25,918 resume daripada pencari kerja.

 

‘’Daripada jumlah itu, seramai 119 calon berjaya mendapat tawaran pekerjaan secara terus dan sekurang-kurangnya 3,101 calon pula telah ditemuduga.

 

‘’Seramai 2,137 calon yang lain telah berjaya dipanggil ke temuduga peringkat kedua,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Saravanam berkata, sebanyak 126 syarikat terkemuka termasuk syarikat multinasional telah mengambil bahagian dalam ekspo kerjaya ini seperti ExxonMobil Malaysia, Top Glove, Honda, Schlumberger, Sime Darby Plantation dan CIMB Bank.

 

Menurutnya, Ekspo Kerjaya MYFutureJobs sempena IPEF 2021 ini merupakan salah satu daripada inisiatif proaktif PERKESO untuk menyokong usaha Kerajaan yang sedang membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

International Public Employment Forum 2021 (IPEF 2021) yang melabuhkan tirainya pada 9 September lalu menyaksikan lebih daripada 151,000 peserta dari dalam dan luar negara menyertai forum antarabangsa yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

 

Berlangsung selama empat hari bermula 6 hingga 9 September 2021, Majlis Penutupan IPEF 2021 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

 

Penganjuran IPEF 2021 ini dibuat menerusi tiga rangkaian program yang dijalankan secara serentak iaitu SOCSO’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021, International Public Employment Services Symposium dan Ekspo Kerjaya MYFutureJobs yang berlangsung sepenuhnya secara maya.

 

 

myfuturjobs

 

 

Program SOCSO’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Simposium 2021 yang diadakan pada 6 hingga 7 September berjaya merekodkan keseluruhan 17,021 penyertaan termasuk 152 peserta dari luar negara.

 

Simposium ini mengetengahkan sesi diskusi mengenai pengurusan hilang upaya dan pembangunan tenaga kerja dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya dalam mendepani cabaran COVID-19 bersama barisan pakar dari dalam dan luar negara.

 

‘’Saya berharap IPEF 2021 memberikan manfaat kepada setiap peserta selain membantu untuk merapatkan lagi hubungan antara golongan majikan dan pekerja yang menjadi tulang belakang kepada sektor ekonomi negara.

 

‘’Saya juga percaya kewujudan sebuah ekosistem keselamatan sosial yang komprehensif yang mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan serta pemegang taruhnya, akan dapat membantu untuk meningkatkan kemampuan sesebuah negara berhadapan dengan apa-apa jua krisis termasuklah seperti yang dihadapi oleh dunia ketika kini,’’ ujarnya. – DagangNews.com