1.2 juta individu dibenarkan hadir ke tempat kerja - MITI | DagangNews Skip to main content

1.2 juta individu dibenarkan hadir ke tempat kerja - MITI

Gambar Reuters/Lim Huey Teng
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Seramai 1.2 juta pekerja di seluruh negara dibenarkan bekerja dari premis atau pejabat masing-masing ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya atau ‘lockdown’.

 

Ini selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meluluskan 95,142 daripada 517,144 syarikat yang berdaftar di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS), untuk beroperasi sepanjang tempoh berkenaan dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

 

Jelas MITI, jumlah pekerja berkenaan menunjukkan penurunan 2 juta daripada 3.2 juta jumlah keseluruhan tenaga kerja.

 

“Setakat hari ini, sebanyak sembilan kementerian telah menyerahkan senarai sektor ekonomi yang diluluskan masing-masing kepada MITI bagi pengeluaran surat kelulusan untuk syarikat berdaftar di bawah CIMS 3.0. 

 

“MITI telah membentuk pusat operasi khas bagi memastikan CIMS 3.0 berjalan dengan lancar dan berkesan. 

 

“Menteri Kanan dan Menteri MITI, Timbalan Menteri MITI dan pegawai atasan MITI serta agensi berada di kawasan untuk memastikan penyelarasan yang cekap antara kementerian, supaya permohonan dapat diproses dengan lancar yang memudahkan aktiviti ekonomi mengikut SOP baharu di bawah PKP,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Semalam, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan bahawa kelulusan syarikat di bawah sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa PKP ini perlu diperoleh menerusi CIMS 3.0, yang diuruskan MITI.

 

Susulan itu, kementerian berkenaan dengan segera mengadakan perbincangan bersama-sama kementerian berkaitan dalam melaksanakan keputusan tersebut.

 

Tambah MITI, bagi syarikat di bawah sektor yang diluluskan beroperasi tetapi tidak berdaftar dengan CIMS 3.0 sebelum pelaksanaan PKP ini, mereka dinasihatkan untuk melakukan demikian.

 

Jelas MITI, kementeriannya telah mula memproses permohonan-permohonan berkenaan daripada syarikat di bawah sektor dibenarkan beroperasi, sejak 1 petang pada 31 Mei 2021. 

 

“Semua surat kelulusan yang dikeluarkan oleh MITI melalui CIMS 3.0 hendaklah mengandungi kod QR. 

 

“Ciri ini diperlukan untuk membolehkan pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan mengesahkan kesahihan surat kelulusan,” tambah MITI lanjut. - DagangNews.com