12 notis ‘dituju’ kepada peniaga jual air kosong lebih RM1 segelas | DagangNews Skip to main content

12 notis ‘dituju’ kepada peniaga jual air kosong lebih RM1 segelas

 

KUALA LUMPUR 9 April - Sebanyak 12 notis dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kepada peniaga premis makanan dan minuman di negeri itu. 

 

Ini adalah susulan mereka menjual air kosong melebihi penetapan harga iaitu RM1 setiap gelas, jelas kementerian itu dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, notis yang dikeluarkan susulan Ops Catut 8.0 (air kosong) sedang dijalankan terhadap restoran mewah, biasa, makanan segera, francais dan kedai makan serta warung di seluruh Selangor bermula 7 hingga 15 April ini.

 

“Peniaga-peniaga yang dikenakan notis itu diberi tempoh masa selama dua hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat diarahkan,” katanya.

 

Tambah beliau, operasi tersebut dilaksanakan kerana terdapat rungutan diterima daripada pengguna berhubung caj air kosong yang agak tinggi di premis makanan dan minuman berlaku di sekitar negeri itu. 

 

“Pengguna di Selangor yang ingin menyalurkan aduan boleh melayari portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, menghubungi pusat panggilan 1800 886 800 atau WhatsApp 019- 279 4317,” katanya lagi. - DagangNews.com