Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 April - Sebanyak 12,000 restoran India Muslim di Malaysia dijangka menggunakan penyelesaian fintech yang diperkenalkan oleh syarikat teknologi kewangan, TFP Solutions Berhad.
Ini susulan TFP menerusi anak syarikatnya, OneCENT Sdn. Bhd. (ONECENT) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang mempunyai 4,500 ahli dengan 12,000 buah restoran.
Menerusi MoA tersebut, ONECENT akan menjadi penyedia perkhidmatan fintech eksklusif kepada semua restoran India Muslim yang berdaftar dengan PRESMA.
Pengarah Eksekutif Kumpulan TFP Solutions, Datuk Puteri Munawarah Syammiyah Munir berkata, di bawah perjanjian itu, ONECENT akan menyediakan ekosistem ‘loyalty’ pelanggan digital lengkap kepada ahli dan restoran di bawah PRESMA.
“Dalam pada itu, sebanyak 40,000 pekerja asing yang bekerja di restoran-restoran itu turut akan disediakan dengan OneCALL Mobile FinTech bagi kegunaan mereka.
“Kad sim OneCALL Mobile FinTech didatangi dengan e-dompet yang dijana oleh MobilityOne, mampu menyokong bayaran balik gaji pekerja menerusi sistem SmartHR & Payroll, menawarkan kemudahan bayaran bil, pembelian tambah nilai prabayar, pembelian pelan data dan menariknya, pekerja boleh menghantar wang kepada keluarga menggunakan OTR (OneTransfer Remittance).
“Selain itu, kami juga menjangkakan PRESMA dapat menerima manfaat besar dengan menggunakan rangkaian runcit, e-perdagangan dan platform Tempah & Penghantaran kami,” katanya dalam sebuah kenyataan, semalam.
Sementara itu, Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali berkata persatuannya berhasrat untuk menaik taraf keupayaan digital ahli restoran India Muslim, sejajar dengan objektif kerajaan untuk memastikan semua perniagaan menggunakan transaksi tanpa tunai menjelang 2022.
“Kami akan mengubah ahli dan pekerja menerusi gaya hidup fintech dengan memasukkan mereka ke dalam komuniti digital ONECENT, yang menawarkan ekosistem gaya hidup menyeluruh dengan membelanjakan rebat yang dikongsikan dalam kumpulan,” katanya. - DagangNews.com