120,000 pengunjung hadir Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 anjuran PNB di Port Dickson | DagangNews Skip to main content

120,000 pengunjung hadir Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 anjuran PNB di Port Dickson

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini berjaya menarik seramai 120,000 pengunjung yang mana sejumlah 17,000 terdiri daripada kanak-kanak dan pelajar sekolah.

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, beliau berbesar hati kerana MSAM turut menarik minat pengunjung golongan belia.

 

"Alhamdulillah, ini membantu usaha PNB melahirkan lebih ramai masyarakat yang celik kewangan khususnya dalam kalangan generasi muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MSAM 2022 telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, setelah berlangsung selama tujuh hari. Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn dan kepimpinan kanan Rakan Korporat MSAM 2022.

 

Pameran dan aktiviti mesra keluarga tersebut telah memperkenalkan pelbagai elemen kelestarian serta menyediakan pelbagai aktiviti interaktif bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai pelaburan serta meningkatkan tahap literasi kewangan mereka. 

 

Selain menjadi acara tarikan fizikal di Port Dickson, MSAM 2022 turut mendapat sambutan yang menggalakkan melalui Facebook dan Instagram rasmi PNB dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

 

Sempena MSAM 2022, Tun Arifin dan Ahmad Zulqarnain telah melancarkan produk dana unit amanah harga berubah baharu ASNB iaitu ASN Sukuk, dengan ciri-ciri risiko rendah dan penjanaan pendapatan dalam jangka sederhana hingga jangka panjang. 

 

 

pnb
Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) menyempurnakan gimik majlis penutup MSAM 2022 di Port Dickson, sambil disaksikan oleh Tun Arifin Zakaria (dua, kiri)

 

 

Nilai pelaburan minimum ASN Sukuk adalah sebanyak RM10 dengan pelaburan tambahan serendah RM1. Pelabur boleh melanggan ASN Sukuk secara dalam talian di portal dan aplikasi mudah alih myASNB, perbankan internet, atau perkhidmatan kaunter di 32 pejabat cawangan dan lebih 2,700 cawangan ejen seluruh negara. 

 

Selain itu, antara elemen kelestarian yang diterapkan dalam MSAM 2022 termasuklah penggunaan panel solar yang telah membekalkan tenaga elektrik untuk lampu-lampu di sepanjang 150 meter laluan utama koridor khemah dan dapat menjimatkan hampir 25% penggunaan tenaga elektrik.

 

Bagi memenuhi agenda sosial dalam aspirasi kelestarian, PNB juga telah menyediakan peruntukan sejumlah RM1.5 juta untuk menyumbang kepada kerja-kerja menaik taraf unit Hemodialisis di Hospital Port Dickson.

 

Pada hari terakhir pameran, PNB telah mengumumkan pemenang tiga hadiah utama e-Peraduan. 

 

Mohd Safari Hamizan, 47, dari Negeri Sembilan telah membawa pulang sebuah kereta elektrik Hyundai Kona e-Lite, manakala Shahril Dasti, 46 dari Selangor memenangi sebuah kereta elektrik Toyota Corolla Cross Hybrid dan Perodua Alza 1.5 AV menjadi milik Afzatul Marwa Ahmad, 46, dari Negeri Sembilan. - DagangNews.com