1,292 kawasan alami gangguan bekalan air | DagangNews Skip to main content

1,292 kawasan alami gangguan bekalan air

Gangguan air

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 



KUALA LUMPUR 3 Sept. - Sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Lembah Klang, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.

Gangguan tersebut dilaporkan bermula sejak pukul 10 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, ganguan yang berlaku itu disebabkan pencemaran sumber air mentah.

"Air Selangor terpaksa menghentikan operasi loji rawatan air Sungai Selangor di Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang kerana mengalami masalah pencemaran sumber air mentah.

"Pada pukul 11.30 pagi tadi, pencemaran sumber air mentah masih dikesan di kawasan Sungai Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, Air Selangor bertindak menyediakan bekalan air ke kawasan terjejas melalui lori tangki bergerak.

Keutamaan bekalan tersebut akan diberi kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Tambahnya lagi, orang ramai yang memerlukan bekalan air bagi tujuan kecemasan boleh menghubungi talian 15300 atau whatsapp di 019-2816793 dan 019-2800919.

"Maklumat semasa berkaitan ganguan bekalan air akan disampaikan dari semasa ke semasa melalui media sosial  Air Selangor atau laman web rasmi www.airselangor.com. - DagangNews.com