13 PPV 'walk in' di Lembah Klang bermula hari ini | DagangNews Skip to main content

13 PPV 'walk in' di Lembah Klang bermula hari ini

Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara 'walk in' di kawasan Lembah Klang diteruskan dengan melibatkan 13 PPV tertentu.

 

Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata, ia dibuat susulan bilangan 'walk in' untuk warganegara Malaysia semakin berkurangan dari hari ke hari sejak dimulakan pada 2 Ogos yang lalu.

 

"Walk-in untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan tetapi di 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu. 

 

"Bagi bukan warganegara Malaysia di Lembah Klang, kaedah 'walk-in' yang dikhususkan di Pusat Pemberian Vaksin Stadium Nasional Bukit Jalil (PPV SNBJ) sehingga 22 Ogos akan digantikan dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu. 

 

"Ini bermakna, PPV SNBJ tidak lagi menerima 'walk-in' bukan warganegara bermula 23 Ogos ini," jelas CITF dalam satu kenyataan.

 

Langkah tersebut diambil agar proses pemvaksinan bukan warganegara, yang menyaksikan sambutan yang amat baik dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.

 

 

Berikut adalah lokasi PPV 'walk-in' untuk warganegara Malaysia di Lembah Klang;

 

Bermula 23 Ogos 2021

1. KL Convention Centre (KLCC) – HCO F, G dan H
2. Axiata Arena Bukit Jalil – A, B
3. Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam – HCO B
4. Bangi Avenue Convention Centre (BACC)
5. Hotel Wyndham Acmar Klang
6. Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya
7. Stadium Tertutup Kuala Selangor
8. Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam
9. Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat

 

Bermula 25 Ogos 2021

10. Le Pavilion Gamuda Garden, Gombak
11. Bukit Beruntung Golf Resort

 

Bermula 26 Ogos 2021

12. Galaxy Mall Ampang
13. Universiti Multimedia, Cyberjaya

 

Tambah CITF lagi, setiap individu yang hadir bagi tujuan 'walk in' perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang, dengan membawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan.

 

Dalam pada itu, individu yang terlepas suntikan dos kedua juga boleh pergi ke mana-mana PPV yang disenaraikan dan berhampiran dengan kediaman. 

 

"Sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin dari jenis yang sama dengan dos 1 mereka, mereka akan dirujuk ke PPV yang lain.

 

"Walk-in juga adalah berdasarkan kaedah 'first-come-first-serve' bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV di atas, individu 'walk-in' akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut sudah habis digunakan," tambah CITF lagi. - DagangNews.com