13 raifal penembak tepat bernilai RM2.3 juta antara aset baharu FRU tahun depan - KPN | DagangNews Skip to main content

13 raifal penembak tepat bernilai RM2.3 juta antara aset baharu FRU tahun depan - KPN

KUALA LUMPUR 7 Dis -  Sebanyak 13 laras raifal penembak tepat berkaliber bernilai RM2.3 juta antara aset baharu akan diperoleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tahun depan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

 

Ia sebahagian daripada perolehan kelengkapan bernilai RM21.8 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk 10 van tempur (RM3.6 juta), penggantian 175 laras senapang rusuhan (RM2.8 juta), empat kenderaan trak jenis “float bonded” untuk Unit Berkuda FRU (RM2.2 juta), 10 anjing rusuhan (RM900,000), 1,000 unit baju zirah dan 1,000 unit topeng gas bernilai RM10 juta.

 

"Saya harap aset yang bakal diperoleh nanti akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga FRU untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik," katanya ketika berucap merasmikan Markas FRU dan Sambutan Hari Ulang Tahun FRU ke-68 di Dataran Kawad FRU di sini, hari ini.

 

Beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan, khasnya KDN yang sentiasa memberi perhatian pada kebajikan dan keperluan aset warganya sejajar arus pembangunan serta teknologi semasa.

 

Mengenai Markas FRU di Cheras, Razarudin berkata, ia akan menempatkan Unit 1, Unit 4, Unit Berkuda, dan Trup Wanita serta blok pentadbiran, pengangkutan, dewan, dan blok perumahan.

 

Markas itu manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting FRU dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam, katanya.

 

Dalam perkembangan lain, 163 orang ditahan FRU atas 41 kesalahan penyeludupan kontraban, migran, ketum, mercun, dan khazanah negara membabitkan nilai rampasan berjumlah RM31.8 juta bagi 10 bulan pertama tahun ini, lapor Bernama.

 

 

kpn
Tan Sri Razarudin Husain

 

 

"Peranan FRU dipelbagaikan, termasuk tugas risikan untuk membantu pasukan sahabat lain bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, selain terlibat kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pengganas dan menyekat kemasukan pendatang tanpa izin," katanya.

 

FRU sayap polis yang bernaung bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam. - DagangNews.com