Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Sebanyak 15 tapak pembinaan telah diarahkan tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ekoran melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara itu didedahkan Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan hari ini.
Setakat semalam, 15 tapak pembinaan itu diberikan notis kerana kegagalan pematuhan dari aspek penempatan pekerja, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka, jelasnya.
"Kebanyakan kes positif COVID-19 di tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.
“Antara punca yang dikenal pasti adalah penempatan pekerja yang sesak, kotor dan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain yang berkemungkinan membentuk kluster pembinaan,” katanya menurut laporan Bernama.
Tambah Fadillah, CIDB telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,022 tapak pembinaan dan 1,007 didapati mematuhi SOP yang ditetapkan sejak PKP dilaksanakan pada 13 Januari lepas.
Beliau dalam masa sama menggesa kontraktor yang mendapat kebenaran beroperasi ketika PKP agar mematuhi SOP di tapak pembinaan dan penempatan pekerja bagi mengelak berlaku jangkitan pandemik COVID-19.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal mematuhi arahan ditetapkan selain tindakan tatatertib yang boleh mengakibatkan pendaftaran mereka dibatal atau digantung,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com