1HFY21 : Untung bersih Hextar merosot 12.4% ekoran harga bahan mentah naik | DagangNews Skip to main content

1HFY21 : Untung bersih Hextar merosot 12.4% ekoran harga bahan mentah naik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Syarikat kimia, Hextar Global Berhad menyaksikan keuntungan bersih kumpulan menyusut 12.4% pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) kepada RM18 juta daripada RM20.6 juta yang dicatatkan tempoh sama, tahun lalu. 

 

Kemerosotan itu terutamanya disebabkan oleh margin keuntungan kasar yang lebih rendah iaitu 19.9% daripada 22.4% ekoran harga bahan mentah dan kos overhead yang meningkat. 

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan menyaksikan pertumbuhan 4% kepada RM213.5 juta pada tempoh sama berbanding 1HFY20, RM205.3 juta yang dipacu oleh jualan domestik dalam segmen agrikultur. 

 

Bagi tempoh suku kedua FY21 (2QFY21) yang berakhir 30 Jun lalu, kumpulan menyaksikan hasilnya menyusut secara margin, 2.0% kepada RM98.7 juta berbanding RM100.7 juta, sementara keuntungan sebelum cukai berjumlah RM10 juta berbanding RM14.7 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut Hextar, Ahli Lembaga Pengarahnya meluluskan agihan dividen interim pertama pada kadar 1 sen sesaham yang berjumlah kira-kira RM13.3 juta, mewakili nisbah bayaran sebanyak 72.9% bagi 1HFY21.

 

Tarikh kelayakan dan pembayaran masing-masing telah ditetapkan pada 9 September dan 28 September 2021.

 

Pengarah Eksekutif Hextar, Datuk Eddie Ong Choo Meng kekal optimis terhadap prestasi kumpulan walaupun berdepan cabaran semasa. 

 

Eddie Ong Choo Meng
Eddie Ong Choo Meng

 

“Sepanjang tempoh enam bulan lalu, kami amat menumpukan ke arah pengembangan ke dalam sektor kimia khas di mana telah memberi tumpuan kepada kepakaran penggabungan dan pengambilalihan kami.

 

“Susulan daripada pengambilalihan Alpha Aim (M) Sdn. Bhd. dan Chempro Technologies (M) Sdn. Bhd. pada 23 Julai 2021, kami kini berusaha untuk memastikan integrasi yang lancar bagi kedua-dua perniagaan itu ke dalam kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com