2 analisis kekalkan saranan ‘beli’ saham Mah Sing | DagangNews Skip to main content

2 analisis kekalkan saranan ‘beli’ saham Mah Sing

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Dua penganalisis ekonomi mengekalkan saranan ‘beli’ saham syarikat pemaju hartanah, Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing).

Saranan itu didorong pengumuman Mah Sing mengenai penerbitan sukuk boleh tukar (convertible) sehingga RM100 juta bagi tempoh tujuh tahun bertujuan membiayai pelaburannya pada masa hadapan. 

Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) dan AmInvestment Bank masing-masing meletakkan harga sasaran RM0.85 dan RM0.99.

“Dengan andaian penukaran penuh menjadi saham baharu, pangkalan saham Mah Sing akan berkembang daripada 2,427 juta kepada 2,56 juta dengan aliran tunai melonjak sebanyak RM100 juta.

“Sehubungan itu, kami memotong nilai saksama daripada RM1.01 hingga RM0.99. Pada kadar itu, saham Mah Sing masih mampu menawarkan potensi kenaikan sebanyak 45.6%, oleh itu kami mengekalkan saranan beli,” kata analisis AmInvestment Bank.

Sementara itu, HLIB Research ‘neutral’ terhadap perkembangan berkenaan memandangkan jumlah yang bakal dikumpul kecil berbanding kedudukan kunci kira-kira syarikat itu. 

“Bagaimanapun, hasilnya diperuntukkan untuk membiayai sebarang pelaburan berpotensi oleh Mah Sing bagi memperluas dan menyumbang secara positif bagi tempoh jangka masa panjang,” jelas nota kajian HLIB Research.

Pemegang sukuk berhak menukarnya menjadi Saham Penukaran yang dibayar sepenuhnya pada bila-bila masa dari tarikh terbitan hingga tarikh matang pada harga penukaran yang disebutkan.

Dalam pada itu, Mah Sing pada 7 Ogos lalu mengumumkan perniagaan pengilangan plastik miliknya sedang meneroka peluang perluasan baharu dalam produk berkaitan penjagaan kesihatan yang menelan pelaburan awal sehingga RM150 juta.

“Secara idealnya, Mah Sing dapat memanfaatkan kepakarannya dalam perniagaan plastik agar dapat bersinergi dengan usaha yang berpotensi,” tambah HLIB Investment. - DagangNews.com