2 ‘bos’ Labuan FSA letak jawatan mengejut | DagangNews Skip to main content

2 ‘bos’ Labuan FSA letak jawatan mengejut

AZIZAN ABDUL RAHMAN (kiri) meletakkan jawatan tiga hari selepas peletakan jawatan oleh Danial Mah Abdullah (kanan).

 

KUALA LUMPUR 13 April - Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), sebuah badan kawal selia bagi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) mengumumkan dua perletakan jawatan tertingginya, secara berturut-turut.

 

Menerusi kenyataan singkatnya semalam, Labuan FSA mengumumkan Datuk Azizan Abdul Rahman telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi badan itu berkuatkuasa 12 April 2021. 

 

Sebelum itu, pada 11 April 2021, Labuan FSA mengumumkan peletakan jawatan oleh Datuk Danial Mah Abdullah sebagai Ketua Pengarahnya berkuatkuasa 9 April 2021. 

 

Dalam pengumuman berbeza, Labuan FSA memberitahu, sementara menunggu pelantikan Ketua Pengarah baharu, Timbalan Ketua Pengarah, Datuk Iskandar Mohd Nuli, akan memangku peranan tersebut.

 

“Labuan FSA memberi jaminan bahawa tiada gangguan pada operasi hariannya dan akan terus berkhidmat kepada industri.

 

“Labuan FSA juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Danial Mah, yang telah berperanan dalam penubuhan dan transformasi Labuan IBFC; Pihak Berkuasa dengan ini mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Danial Mah atas sumbangannya kepada Labuan FSA dan Labuan IBFC,” katanya.

 

Kedua-dua individu tersebut membuat peletakan jawatan mengejut sebelum tarikh tamat kontrak mereka iaitu menjelang tahun 2023.

 

Bagaimanapun, Labuan FSA tidak menjelaskan alasan di sebalik peletakan jawatan tersebut.

 

Untuk rekod, Azizan memegang jawatan itu bermula 1 November 2020 selepas bersara sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA pada tahun 2011. 

 

Sementara itu, Mah pula berkhidmat untuk Labuan FSA sejak 1997 sebagai Timbalan Ketua Pengarah sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Pengarah badan itu pada tahun 2017. - DagangNews.com